JENAYAH & MAHKAMAH

Pengawal keselamatan disiasat kes liwat kucing dihukum penjara 4 bulan

SHAH ALAM – Pengawal keselamatan warga Nepal yang sebelum ini disiasat berhubung kes meliwat kucing dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas satu pertuduhan berpakaian separuh bogel dan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah.

Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh, Arman Shah, 33, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Wan Noora Nisa Ngadirin.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dihukum penjara selama satu bulan kerana berpakaian tidak senonoh manakala tiga bulan bagi sabitan Akta Imigresen.

Wan Noora Nisa memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman secara berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, Arman didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan dengan mengganggu kesantunan iaitu dengan cara berpakaian separuh bogel di hadapan seorang lelaki berusia 33 tahun, di tingkat empat sebuah pangsapuri di Kota Kemuning, Seksyen 31 pada jam 12.30 tengah malam 15 November lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi kes memasuki negara tanpa dokumen sah di lokasi dan masa yang sama, dia yang masih bujang dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, dia tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman penjara yang minimum.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Ariz Zainal Alam mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, tertuduh turut mengaku bersalah di hadapan Hakim, Fatimah Zahari atas satu pertuduhan mendera seekor kucing dengan kejam di lokasi dan masa sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 8 Disember depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button