BERITA SEMASA

PRN: Proses undi awal, empat negeri catat peratusan melebihi 95 peratus

CYBERJAYA – Empat daripada enam negeri yang menghadapi pilihan raya negeri (PRN), termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu merekodkan peratusan keluar mengundi lebih 95 peratus bagi proses undi awal yang diadakan hri ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin berkata, Kedah mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 96.02 peratus, diikuti Terengganu (95.91 peratus), Selangor (95.87 peratus) dan Pulau Pinang (95.01 peratus).

Dua negeri lagi iaitu Negeri Sembilan dan Kelantan merekodkan bawah 95 peratus dengan masing-masing mencatat sebanyak 94.05 peratus serta 93.90 peratus.

“Bagi PRN, seramai 72,554 orang yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, anggota polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal,” kata Ikmalruddin dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Sementara itu, PRK Kuala Terengganu pula mencatatkan 1,286 orang pengundi bersamaan 95.47 peratus daripada 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan yang terlibat.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pegawai pengurus pilihan raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penerangan Malaysia, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya lagi.

Sebelum ini, SPR memaklumkan pengundian awal PRN melibatkan 49,660 anggota tentera dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing mengundi di 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button