BERITA SEMASA

‘Bukan tol, tetapi caj gunakan laluan persendirian’ – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Bayaran yang akan dikenakan ke atas pengguna Jalan Genting Highlands bukan tol, sebaliknya caj kenderaan bagi laluan persendirian milik pengendali di kawasan peranginan berkenaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, penggunaan istilah tepat dalam isu itu adalah penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kerana negara sudah pun memiliki 33 konsesi tol di lebuh raya sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Ahmad turut menjelaskan, caj kenderaan berkenaan hanya wajar dikenakan kepada pengunjung yang menggunakan laluan berkenaan bagi tujuan rekreasi manakala pekerja dan pemilik tanah serta premis di kawasan itu tidak dikenakan caj.

“Sekiranya mereka (Genting Malaysia Bhd) meletakkan caj kenderaan yang tinggi, kuranglah pelancong datang ke tempat itu. Pelancong akan pergi ke tempat lain yang tidak ada caj atau bukan jalan persendirian.

“Pada pandangan saya secara peribadi, pekerja tidak perlu dikenakan caj. Ada juga orang memiliki tanah di situ yang bukan hanya dimiliki oleh Genting. Malah, kita juga ada Institut Aminuddin Baki di situ, takkanlah mereka juga hendak dikenakan caj.

“Jadi saya kira, laluan Batang Kali ke situ yang menjadi laluan umum, tidak patut dikenakan caj. Hanya mereka yang hendak pergi bergembira di atas situ, saya kira wajar dikenakan caj. Kepada mereka yang melaluinya atas tujuan sosial, saya tidak nampak ia patut dikenakan caj,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Young Syefura Othman (PH- Bentong) berhubung langkah Kementerian Kerja Raya (KKR) menangani isu yang sama membabitkan jalan persendirian di masa hadapan.

Minggu lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan laluan memasuki Jalan Genting Highlands bukan Jalan Persekutuan, sebaliknya terletak di atas tanah milikan persendirian.

Sebelum ini, Genting Malaysia Bhd mengesahkan akan mengenakan bayaran ke atas kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button