BERITA SEMASA

Ratu Cantik Malaysia harumkan nama negara, rangkul 2 anugerah dalam World Championships of Performing Arts

KUALA LUMPUR – Ratu Cantik Mrs Fabulous Malaysia 2019, Datuk Wahadaniah Abdul Wahab berjaya mengharumkan nama negara selepas merangkul dua anugerah Champion of the World dalam kejohanan World Championships of Performing Arts (WCOPA) ke-26 di Anaheim, California, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Datuk Dania yang merupakan satu-satunya peserta dari Malaysia yang menyertai kategori peragaan dalam kejohanan itu memenangi anugerah itu dalam bahagian photoshoot dan spokesmodel.

Bercakap kepada Malaysia Tribune, beliau berkata, penyertaan tahun ini amat sengit dengan peserta-peserta hebat dari Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Romania, Perancis, Belgium, Trinidad and Tobago, Filipina dan Guatemala.

“Ini merupakan satu pengalaman yang sangat hebat dan mengujakan apabila dapat mempersembahkan skil dan membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya rakan-rakan yang bersama di AS dan di Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang menyertai pertandingan ini. Pada masa sama, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Encik Romli, Puan Intan, KNKV Group, UiTM, barisan penaja Nottingheels, Zamin, Azura KNKV Group dan UiTM, Haidawati Ts Ain Rakan Alam Sekitar, Puan Afzan, Gym Coach Fixx dan rakan-rakan.

“Galakan, sokongan, dan kepercayaan anda yang tidak berbelah bahagi kepada saya telah memainkan peranan penting dalam kejayaan ini. Saya amat berbangga dapat mewakili negara kita yang tercinta, Malaysia dalam kejohanan bertaraf dunia ini,” katanya.

Lebih mengujakan katanya, selepas selesai pusingan kedua beliau bersama beberapa peserta lain telah mendapat sesi temu janji untuk berjumpa dengan beberapa pengarah, penerbit dan agen-agen syarikat hiburan besar di Hollywood.

“Perjumpaan ini akan disambung semula setelah kembali ke Malaysia nanti. Apa yang amat menerujakan adalah peluang untuk belajar dan bergaul bukan sahaja dengan para karyawan dari seluruh dunia, tetapi juga dengan ramai pengarah dan penerbit dari Hollywood,” ujarnya.

Sementara itu, secara keseluruhan Pasukan Malaysia yang bertanding dalam kejohanan seni persembahan dunia itu telah berjaya membawa pulang enam pingat emas, 20 perak dan 10 gangsa.

Menurut Pengarah MATME Management yang mengelolakan Pasukan Malaysia, Romli Bidin, dalam kejohanan yang dianggap sebagai ‘Olimpik’ seni persembahan itu, Malaysia menghantar seramai 11 karyawan tempatan yang menyertai empat kategori iaitu vokal, tarian, muzik dan peragaan.

“Setiap wakil Malaysia telah menyertai sekurang-kurangnya lima pertandingan setiap seorang. Tiga peserta dalam bahagian sunior (5 hingga 15 tahun) manakala selebihnya di bahagian Senior (16 tahun keatas). Di bahagian Junior, adik Chloe Phang Ziang Ee (9 tahun) bertanding dalam kategori muzik dengan bermain drum manakal Quah Xin En (8 tahun) dan Jackie Jeffry (11 tahun) pula bertanding dalam kategori vokal.

“Di bahagian senior, Imran Azim Iskandar (16 tahun) mewakili Sarawak bagi kategori muzik dan Elwyn Jung Ming Yan (17 tahun) yang juga dari Sarawak menyertai persembahan dalam kategori tarian. Pada masa kategori tarian juga diwakili oleh Goay Lian Lian dari Pulau Pinang bagi kumpulan umur 30 tahun dan ke atas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Romli lagi, Malaysia menghantar peserta paling ramai bagi kategori vokal dengan disertai oleh Mary Grace Jane dari Sabah bagi kumpulan umur 18 hingga 24 tahun.

Bagi kategori sama untuk kumpulan umur 30 tahun ke atas, katanya, ia disertai oleh Nurashida Azli, Ketty Natalia Rasul (Thalia) dan Elvira Pontillas manakala Datuk Wahadaniah Abdul Wahab merupakan satu-satunya wakil tunggal dalam kategori peragaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button