KUSKOP komited perkukuh gerakan koperasi dan usahawan Sabah
KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh usaha memperkasa gerakan koperasi serta komuniti usahawan di Sabah melalui pelbagai program advokasi, bimbingan dan sokongan pembiayaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, Program Advokasi dan Pemantapan Tadbir Urus Koperasi Baharu anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berjaya menghimpunkan lebih 200 anggota koperasi dari seluruh negeri.

Menurut beliau, program berkenaan memberi pendedahan penting kepada koperasi baharu dalam aspek perundangan, pengurusan dan tatakelola agar mereka dapat beroperasi dengan lebih berkesan, telus dan mampan.
“Program ini memberi mereka pengalaman, pendidikan dan nasihat supaya koperasi dapat menjalankan aktiviti dengan cara yang betul serta mengikut tatakelola yang ditetapkan oleh SKM,” katanya melalui hantaran di media sosial.
Ramanan menjelaskan bahawa KUSKOP turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan seperti Tabung Modal Pusingan dan geran kecil bagi membantu koperasi yang baru beroperasi, namun bantuan itu hanya diberikan kepada koperasi yang mematuhi tatakelola serta peraturan SKM.
“Kalau mereka ikut tatakelola dan peraturan yang sedia ada, barulah kita boleh bantu mereka. Ini penting supaya setiap koperasi yang dibangunkan dapat beroperasi dengan berintegriti dan berdaya saing,” jelasnya.
Program tersebut turut disertai agensi-agensi di bawah KUSKOP seperti SME Bank, SME Corp, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan PERNAS yang membuka reruai bagi memperkenalkan pelbagai inisiatif serta kemudahan pembiayaan kepada ahli koperasi dan usahawan di Sabah.

Ramanan turut menegaskan bahawa usahawan serta gerakan koperasi perlu merebut setiap peluang yang disediakan oleh KUSKOP bagi memperkukuh keupayaan perniagaan dan memperluas jaringan ekonomi.
“KUSKOP bersama semua agensinya komited untuk terus membimbing dan membantu dalam usaha memperkasakan komuniti usahawan serta koperasi di seluruh negara, termasuk di Sabah,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru agar wujud kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah supaya setiap dasar dan inisiatif dapat dilaksanakan secara selaras demi manfaat rakyat.
“Kerajaan Negeri Sabah perlu terus sealiran dengan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan dasar dan polisi pembangunan yang mampu memajukan negeri ini serta meningkatkan kesejahteraan rakyatnya,” tegasnya.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad ; Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai; kepimpinan Negeri Keadilan Sabah serta warga koperasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















