BERITA SEMASADALAM NEGERI

Lelaki Indonesia dipenjara dua tahun atas kesalahan seludup PATI senegara

SHAH ALAM – Tindakan seorang lelaki warga Indonesia menyeludup empat pendatang asing tanpa izin (PATI) senegara akhirnya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Jenayah 2 Shah Alam, baru-baru ini.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, tertuduh yang berusia 31 tahun itu disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] selepas didapati bersalah menyeludup migran ke negara ini.

Beliau berkata, tangkapan dibuat hasil Operasi Khas yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada 29 Ogos 2025.

“Operasi tersebut dilaksanakan di Jalan Putra Pangsapuri Mawar, Taman Putra Kajang, Selangor, dan hasil serbuan berjaya menahan suspek bersama empat migran yang ditemui di dalam sebuah rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) komited untuk terus membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang, serta akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), termasuk warga asing yang memasuki atau tinggal di negara ini tanpa kebenaran sah,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan jenayah rentas sempadan kepada pihak berkuasa.

“Sebarang penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti penyeludupan migran dan pemerdagangan orang merupakan kesalahan serius dan akan dikenakan tindakan sewajarnya,” tegasnya.

Beliau turut menyeru masyarakat agar tidak melindungi atau membantu mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, selain menegaskan bahawa JIM akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button