Budaya buli ancaman jenayah, semua pihak perlu main peranan – Mohd Azani
KUALA LUMPUR – Polis menggesa seluruh masyarakat berganding bahu membanteras budaya buli yang kini dilihat semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Azani Omar berkata, perbuatan buli bukan sekadar tingkah laku negatif, tetapi turut dikategorikan sebagai satu bentuk keganasan dan kesalahan jenayah.
Menurutnya, pencegahan jenayah tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata, sebaliknya turut memerlukan pembentukan akhlak, moral dan kefahaman agama yang kukuh dalam diri generasi muda.
“Perlakuan jenayah seperti buli semakin berleluasa terutama dalam kalangan pelajar. Ia berpunca daripada kekurangan penghayatan nilai agama, kurang perhatian ibu bapa, serta pengaruh media sosial dan rakan sebaya,” katanya ketika berucap pada Program Pencegahan Jenayah anjuran bersama Institut Pendidikan Islam Wilayah Persekutuan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, fenomena buli hari ini tidak hanya terhad kepada fizikal, tetapi turut melibatkan buli siber yang memberi kesan jangka panjang kepada mangsa, khususnya kanak-kanak dan remaja.
Seramai 180 pelajar daripada lima institusi tahfiz menghadiri program berkenaan.
Mohd Azani turut berkata, guru dan pelajar berperanan sebagai benteng pertama dalam usaha mencegah pengaruh negatif yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
“Jika kesedaran mengenai gejala sosial dipupuk sejak di bangku sekolah, usaha kerajaan menurunkan kadar jenayah akan lebih berkesan,” katanya lagi.
Beliau turut memberi jaminan komitmen Polis Kuala Lumpur dalam bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membimbing pelajar menjadi aset negara dan pewaris kepimpinan masa depan.
Mohd Azani turut menyeru agar semua pihak sama-sama menghentikan budaya buli demi kesejahteraan masyarakat.
“Budaya buli mesti dihentikan. Ia bukan sahaja merosakkan masa depan pelajar, malah mengancam keselamatan awam,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








