JENAYAH & MAHKAMAH

KPM mahu keadilan ditegakkan buat Allahyarham Iman Zhafran

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mahu keadilan dapat ditegakkan bagi keluarga Allahyarham Iman Zhafran Muhammad Hafizuddin yang meninggal dunia di sebuah sekolah di Senawang, Negeri Sembilan, 1 Oktober lalu.

KPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil perhatian penuh kenyataan keluarga Allahyarham hari ini berkaitan kejadian tersebut.

“Justeru, KPM meminta supaya semua elemen berkaitan kejadian ini disiasat secara menyeluruh. Pada waktu ini kes masih berada dalam siasatan pihak Polis.

“Tindakan tegas perlu diambil ke atas sesiapa sahaja yang bersalah,” kata kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, keluarga Allahyarham mengadakan sidang media dan meminta supaya pihak pendakwaan membuka satu inkues bagi menentukan punca sebenar kematian kanak-kanak itu.

Dalam sidang media sama, bapa Allahyarham, Muhammad Hafizuddin Abdullah memberitahu media bahawa anaknya ada memberitahu kakaknya dia pernah menerima ugutan sehari sebelum kejadian.

“Malam sebelum kejadian (30 September), Iman mengadu kepada kakaknya bahawa ada murid ugut nak tengok dia mati esok.

“Tapi kakak tak sempat bagitahu kami sebab masa tu kami dah tidur,” katanya dalam sidang meida tersebut, hari ini.

Muhammad Hafizuddin berkata, dia hanya mengetahui mengenai ugutan tersebut selepas disoal siasat oleh pihak polis sehari selepas kejadian tragis itu.

Dia turut memberitahu, pihak polis turut menemukan nota bertulis dalam buku milik Allahyarham yang mengandungi mesej berbaur ugutan.

“Dalam buku Allahyarham, ada tulisan berbunyi saya nak awak mati… saya tak tahu awak akan masuk syurga atau neraka. Itu yang polis tunjuk pada kami,” katanya.

Dalam kejadian pada 1 Oktober lalu, Allahyarham Iman Zhafran ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kerana tekanan pada leher tanpa kecederaan lain pada tubuh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button