BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPT akan perkenal subjek baharu babitkan aspek pembinaan manusia

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenalkan satu mata pelajaran baharu dalam kumpulan Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) di universiti yang memberi penekanan terhadap aspek pembinaan insan dan tasawwur Islam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, subjek berkenaan dijangka dikemukakan dalam masa terdekat bagi membolehkan pelaksanaannya di institusi pengajian tinggi.

“Mata pelajaran umum ini merupakan salah satu usaha kita untuk membina adab dan karakter. Namun, seperti yang diketahui, perkara ini sebelum ini tidak diurus dengan begitu baik.

“Sejak ia mula diperkenalkan sekitar 1996, terdapat pelbagai pendekatan digunakan. Subjek berkaitan MPU ini kadang-kala dikenali sebagai kursus peradaban dan sebagainya.

“Bagaimanapun, pelaksanaannya tidak begitu mantap. Saya dapati wujud semacam dua mazhab atau school of thought dalam pendekatan ini. Melalui beberapa siri perbincangan, kita berusaha untuk menyatukan pandangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN–Indera Mahkota) mencelah dengan pertanyaan sama ada KPT turut memiliki kurikulum khusus bagi pembinaan sahsiah pelajar seperti yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) di peringkat sekolah.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, penekanan terhadap pembentukan adab dan karakter amat penting bagi menghadapi cabaran dunia moden yang semakin kompleks.

Justeru, katanya, kesinambungan antara pendidikan karakter di sekolah dan universiti perlu diberi perhatian bagi melahirkan generasi berakhlak mulia.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menekankan supaya keseluruhan kurikulum yang dilaksanakan dapat diteruskan di peringkat sekolah.

“Namun, bagaimana proses kesinambungan terhadap pembinaan karakter atau adab itu dapat digabungkan dalam kerangka pemahaman akal budi perlu dilihat secara menyeluruh,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button