Kerajaan sedang bangunkan Model Pengajian Tahfiz Malaysia
KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang membangunkan kerangka Model Pengajian Tahfiz Malaysia (MPTM) sebagai panduan dan menyelaras sistem pengajian tahfiz di dalam negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, MPTM mengandungi empat model pendidikan iaitu Tahfiz Akademik, Tahfiz Turath, Tahfiz Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dan Intervensi Tahfiz.
“Keempat-empat model ini sedang dalam kerangka pembangunan dan dijangka siap tidak lama lagi. Model ini akan diselaraskan pemakaiannya ke negeri-negeri untuk dilaksanakan di maahad tahfiz yang berdaftar.
“Ia merupakan model yang boleh dijadikan panduan bagi menentukan hala tuju maahad tahfiz pada masa akan datang,” katanya.
Mohd Na’im berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai masa depan para Huffaz negara, pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau turut berkata, satu bengkel bagi membincangkan kerangka model itu telah dilaksanakan 16 Mei lepas, yang disertai pelbagai agensi termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), wakil universiti dan maahad tahfiz.
Sebelum ini, katanya, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), yang dirangka bagi memberi nilai tambah dan suatu bentuk peneguhan terhadap dasar sedia ada untuk memenuhi keperluan semasa, termasuk menangani isu kebolehpasaran lepasan pelajar tahfiz.
Mohd Na’im berkata dua teras dalam DPTN menjadi asas pembangunan MPTM iaitu mewujudkan model institusi tahfiz dan mewujudkan kurikulum pendidikan tahfiz yang sesuai dengan pendidikan arus perdana.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








