BERITA SEMASADALAM NEGERI

‘Baby’ kucing Malaysia menang kali kedua pertunjukan kucing cantik dunia

KUALA LUMPUR – Pemilik kucing dari negara ini terus mencipta sejarah apabila muncul juara dalam pertandingan kucing berprestij anjuran Fédération Internationale Féline (Persekutuan Kucing Antarabangsa) atau Fife iaitu Fife World Cat Show 2025 di Bucharest, Romania, baru-baru ini.

Kucing betina bernama Baby, peliharaan pasangan suami isteri Rooaida Mohd Darus dan Shaharudin Shuib itu diumumkan sebagai World Winner 2025 dalam kategori Housecat Longhair, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu di Oslo, Norway.

Pada pertandingan tahun lalu, Baby mengalahkan ribuan kucing dari seluruh dunia selepas berjaya menambat hati para juri dengan kejinakan, ketenangan serta sifat manja ketika penghakiman.

Lebih membanggakan adalah kerana Baby hanyalah seekor kucing jalanan biasa yang diselamatkan dan dijaga dengan rapi oleh pasangan berkenaan.

 

Rooaida Mohd Darus dan Shaharudin Shuib bersama Baby yang memenangi World Winner 2025 dalam kategori Housecat Longhair pada Fife World Cat Show di Romania, baru-baru ini. Foto : Fife

Pertandingan tahun ini menghimpunkan lebih 750 ekor kucing dari 30 negara, menjadikan kemenangan itu antara pencapaian luar biasa buat Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menurut kenyataan Kelab Kucing Malaysia (KKM) di laman Facebook rasmi mereka, kemenangan tersebut membuktikan dedikasi dan semangat ahli kelab dalam mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Sejarah berulang apabila Malaysia sekali lagi merangkul gelaran berprestij World Winner 2025 di Romania. Kemenangan ini menjadi bukti kehebatan serta kesungguhan komuniti pencinta kucing tanah air,” kata kenyataan itu.

KKM berkata, kejayaan Baby turut disambut hangat oleh pencinta haiwan tempatan yang menganggapnya simbol kasih sayang dan peluang kedua buat haiwan terbiar.

Dengan kejinakan, ketenangan serta sifat manja yang memikat hati juri, Baby sekali lagi membuktikan bahawa kucing jalanan juga mampu menjadi juara dunia apabila diberi kasih dan perhatian sewajarnya.

Sijil kemenangan Baby dalam pertandingan kucing berprestij anjuran Persekutuan Kucing Antarabangsa (Fife) iaitu Fife World Cat Show 2025 di Bucharest, Romania. Foto : Rooaida Mohd Darus

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button