BERITA SEMASA

Mesyuarat dua hala Anwar–Jae-myung perkukuh kerjasama strategik Malaysia,Korea Selatan

KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyambut baik hasil mesyuarat dua hala yang diadakan hari ini antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung, yang mengukuhkan lagi hubungan erat serta berterusan antara kedua-dua buah negara.

Alexander berkata, sejajar dengan pemerkasaan hubungan Malaysia–Korea Selatan ke tahap Rakan Strategik, Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan (MOLIT) dalam bidang pembangunan infrastruktur, teknologi pembinaan dan sistem pengangkutan pintar (ITS).

“Kedua-dua kementerian telah mencatat kemajuan ketara ke arah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pembangunan Infrastruktur dan Teknologi Pembinaan yang dijadualkan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.

Alexander berkata demikian dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Beliau kemudiannya menambah, MoU itu akan membuka laluan kepada kerjasama yang lebih mendalam dalam bidang seperti sistem tol pintar dan sistem pengangkutan pintar (ITS); amalan pembinaan pintar dan mampan; penyelenggaraan infrastruktur dan pengurusan aset jalan raya; serta dasar, undang-undang dan peraturan berkaitan lebuh raya bertol.

“Kerjasama ini bertujuan mempercepatkan penerapan teknologi canggih Korea di Malaysia, termasuk inovasi dalam mobiliti pintar dan teknologi pembinaan, sekali gus menggalakkan pertumbuhan bersama serta memperkukuh hubungan strategik jangka panjang antara kedua-dua negara.

“Pihak kementerian amat menghargai sokongan padu, kepakaran serta semangat kerjasama Republik Korea yang telah memainkan peranan penting dalam memajukan matlamat bersama untuk membangunkan ekosistem infrastruktur moden, berdaya tahan dan mampan,” tambahnya.

Pertemuan antara Anwar dan Jae-myung diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Mesyuarat Berkaitan yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button