BERITA SEMASA

Isteri peniaga air balang meninggal dunia, netizen kenang kasih sayang Pakcik Ahyauddin

KUALA LUMPUR – Pemergian isteri kepada seorang peniaga air balang di Pantai Dalam, di sini mengundang sebak buat deejay radio Era.

Melalui perkongsian di media sosial, Era memaklumkan isteri Pakcik Ahyauddin, Roslina Yusof telah kembali ke rahmatullah sekitar pukul 11 pagi tadi.

“Anak kepada Pakcik Ahyauddin memaklumkan kepada #PetangERA bahawa ibunya, Roslina Yusof, telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah,” tulisnya.

Kisah pasangan itu pernah dilaporkan #PetangERA sebelum ini ketika mereka menjual air balang di pasar malam sekali gus menzahirkan kasih sayang dan pengorbanan suami isteri yang sederhana namun penuh ikhlas.

Menurut anak mereka, walaupun diuji dengan kehidupan yang serba mencabar, kasih sayang Pakcik Ahyauddin terhadap isterinya tidak pernah luntur.

Suaminya sentiasa setia menemani Roslina dalam setiap suka duka, termasuk ketika berniaga bersama di pasar malam.

Deejay #PetangERA, Haziq Hussni dan Shasha Nadira ketika menziarahi Pakcik Ahyauddin dan isterinya di rumah mereka. – Foto ERA

Netizen yang mengikuti kisah ini turut meluahkan rasa sebak dan kagum terhadap kesetiaan pasangan itu.

“Setia hingga hujung nafas pakcik buat isteri. Tahniah. Semoga masih ada lelaki yang rela susah senang bersama. Sakit sihat bersama-sama,” tulis Eliani Shahira Ramli.

Manakala seorang lagi pengguna media sosial berkongsi kenangan manis bersama pasangan tersebut.

“Saya ingat, suka tengok pakcik tersenyum walaupun dalam ujian. Jual air balang dengan van, pakcik akan bawa makcik sekali masa berniaga. ‘Masa sihat sayang, dah sakit lagi sayang.’ Ayat power dari pakcik tu. Semoga roh isterinya ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh dan solehah. Amin,” komen Faiz Ariff.

Semoga roh Makcik Roslina dicucuri rahmat Ilahi dan ditempatkan bersama mereka yang beriman.

Kisah pasangan itu membuktikan bahawa kasih sayang sejati mampu menjadi inspirasi kepada semua dalam menjalani kehidupan yang penuh ujian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button