ERA lancar pencarian bakat baharu penyampai radio
KUALA LUMPUR – Stesen radio nombor satu negara, ERA membuka tirai Pencarian Bakat Baharu Penyampai ERA iaitu satu platform eksklusif bagi mencungkil generasi penyampai radio baharu yang berbakat, berkarisma dan dekat di hati pendengar.
Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin berkata, pertandingan itu bukan sekadar ruang untuk mencari penyampai baharu, tetapi satu langkah penting memastikan kesinambungan legasi ERA dalam dunia penyiaran.
“Penyampai radio bukan hanya bertugas menyampaikan lagu atau berita. Mereka adalah teman yang menemani pendengar setiap hari, menceriakan, menghiburkan dan memberi inspirasi.
“Dengan tenaga baharu ini, kami mahu ERA terus kekal segar, relevan dan mampu berinteraksi secara autentik dengan pendengar,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Tambah beliau, ERA juga bakal menjelajah ke beberapa lokasi terpilih menerusi sesi ujibakat luar studio yang akan diumumkan di platform media sosial rasmi mereka.
“Langkah ini membolehkan lebih ramai individu berbakat dari pelbagai latar belakang mencuba nasib tanpa perlu hadir ke studio.
“Kali terakhir sesi ujibakat ini diadakan adalah pada 2019, menyaksikan kemunculan bakat baharu seperti Radin (2014) dan Munabella (2019) yang kini antara suara paling dikenali dalam dunia penyiaran tempatan,” jelasnya lagi.

Majlis khas pengumuman pemenang akan diadakan bulan depan dan dijangka menjadi antara acara yang paling dinanti-nantikan oleh peminat ERA serta penggiat industri penyiaran.
Pencarian Bakat Baharu Penyampai ERA mencerminkan komitmen berterusan ERA untuk terus berkembang seiring perubahan trend media serta citarasa pendengar masa kini.
Dengan kemunculan wajah dan suara baharu, ERA yakin mampu mengekalkan gelarannya sebagai stesen radio pilihan utama rakyat Malaysia.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti ERA di semua platform media sosial rasmi mereka.
Syarat Penyertaan:
– Terbuka kepada lelaki dan perempuan berumur 18 hingga 30 tahun
– Hantar video pendek berdurasi tidak melebihi 1 minit yang menunjukkan kebolehan anda sebagai penyampai radio
– Gunakan tanda pagar #penyampaibaruERA dan tag ERA.Jer di Instagram serta TikTok
– Pastikan akaun media sosial diubah kepada Public (umum)
Hadiah Menarik Menanti Pemenang:
* Tempat Pertama – RM3,000 + kontrak sebagai penyampai ERA selama 1 tahun
* Tempat Kedua – RM2,000
* Tempat Ketiga – RM1,000
* Tempat Keempat & Kelima – RM500 setiap seorang
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




