Isu hidang arak: Tiong King Sing akui kesilapan, tegaskan bukan majlis rasmi kerajaan
KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, mengakui kekhilafan kerana tidak menjelaskan lebih awal bahawa majlis makan malam yang tular baru-baru ini.
Menurut beliau, majlis berkenaan turut melibatkan wakil antarabangsa dan penyertaan kementeriannya hanyalah secara simbolik tanpa sebarang pembiayaan atau penglibatan rasmi kerajaan.
“Saya akui kesilapan malam itu kerana tidak memaklumkan bahawa majlis tersebut bukan lagi official dinner.
“Backdrop majlis itu memang ada logo Tourism Malaysia, tetapi nama penganjur industri tidak kelihatan,” katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN–Dungun) di Dewan Rakyat, hari ini.
King Sing berkata, Pekeliling Perkhidmatan 3/2023 tidak terpakai dalam majlis berkenaan kerana ia bukan program rasmi kerajaan.
“Saya tahu logo Malaysia ada di paparan media sosial, tetapi ia hanya pada latar belakang majlis.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi, majlis itu adalah private function, bukan acara kerajaan,” katanya lagi.
Beliau berkata isu berkaitan hidangan arak tidak sepatutnya timbul kerana tidak melibatkan sebarang protokol rasmi atau tatacara kerajaan.
King Sing turut menzahirkan kekesalan atas kekeliruan yang timbul dan berharap isu berkenaan tidak diperbesarkan.
Terdahulu, tular beberapa gambar di media sosial menunjukkan hidangan arak dalam majlis makan malam sempena program Global Travel Meet yang dihadirinya.
Beberapa gambar turut memaparkan Tiong bersama tetamu lain memegang gelas minuman wain dan bir, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen mengenai etika majlis berkenaan.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang insiden penghidangan arak dalam acara rasmi kerajaan.
Beliau menolak alasan bahawa minuman keras hanya dihidang selepas majlis rasmi selesai, dengan menegaskan bahawa dasar kerajaan secara tegas melarang sebarang penghidangan arak dalam program rasmi, tanpa mengira masa atau fasa majlis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








