KPKM semarak semangat kebersihan melalui Hari Cuci Malaysia
PUTRAJAYA – Program Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 peringkat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berlangsung dalam suasana penuh meriah di perkarangan Wisma Tani, Putrajaya baru-baru ini dengan penyertaan hampir 300 warga kementerian dan jabatan di bawahnya.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KPKM, Yuswan Yunus, sebagai simbol komitmen kementerian terhadap persekitaran kerja yang bersih, sihat dan mampan.

Program dimulakan dengan aktiviti senamrobik beramai-ramai sebelum diteruskan dengan gotong-royong membersihkan ruang pejabat berteraskan konsep Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).
“Suasana program turut dimeriahkan dengan jualan barangan kitar semula bertemakan From Trash 2 Cash serta kuiz cabaran minda berkaitan kebersihan dan alam sekitar dengan kerjasama Alam Flora Environmental Solutions (AFES),” menurut KPKM dalam kenyataannya hari ini.
Antara jabatan yang turut serta termasuk Jabatan Pertanian (DOA), Jabatan Perikanan (DOF), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Menurut KPKM, penganjuran HCM 2025 bukan sahaja menyokong aspirasi Kerajaan MADANI dalam menjayakan agenda kemampanan dan kesejahteraan rakyat malah menjadi wadah memperkukuh semangat perpaduan, kerjasama dan silaturahim dalam kalangan warga kementerian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















