BERITA SEMASA

Gempa bumi landa Filipina: Malaysia hantar pasukan SMART

PUTRAJAYA – Malaysia telah meluluskan aturgerak Pasukan SMART dalam konfigurasi penuh sebagai kesiapsiagaan bantuan kemanusiaan kepada Filipina.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan tersebut dijangka bertolak ke lokasi bencana esok.

“Pasukan seramai 77 anggota yang dilengkapi dengan peralatan USAR, sistem komunikasi, perubatan kecemasan, K9 Unit dan kenderaan logistik dijangka bertolak ke lokasi bencana pada jam 9 pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, langkah itu dapat menzahirkan komitmen Malaysia terhadap solidariti serantau ASEAN serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat digerakkan segera demi menyelamatkan nyawa dan memulihkan kehidupan mangsa bencana di negara tersebut.

Pada masa sama, beliau turut merakamkam ucapan simpati terhadap rakyat Filipina berikutan bencana itu.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar rakyat Filipina terus dikurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan Ilahi dalam menghadapi ujian besar ini.

“Semoga setiap usaha mencari dan menyelamat dipermudahkan, setiap mangsa yang terjejas mendapat pembelaan, dan negara Filipina kembali pulih dan membina semula kehidupan rakyatnya yang terjejas akibat gempa bumi yang berlaku,” katanya.

Lewat malam semalam gempa bumi berskala 6.9 magnitud melanda Wilayah Cebu.

Gegaran kuat ini telah meragut puluhan nyawa, mencederakan ratusan mangsa serta menjejaskan kehidupan jutaan penduduk di wilayah yang terlibat.

Laporan awal menunjukkan kerosakan infrastruktur yang amat serius, termasuk runtuhan separa dan kerosakan pada bangunan kediaman serta komersial. Malah, Archdiocesan Shrine of Santa Rosa de Lima di Daanbantayan, sebuah struktur bersejarah berusia ratusan tahun, turut mengalami keruntuhan separa.

Gangguan bekalan elektrik juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan manakala jalan raya, jambatan dan infrastruktur kritikal lain turut rosak teruk dengan anggaran awal nilai kerosakan keseluruhan mencecah USD45.7 bilion.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button