Oleh MUHAMMAD SYAHMI AFIQ MOHD SHUKARI
UCAPAN Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pengiktirafan Palestin baru-baru ini telah mencetuskan gelombang optimisme.
Macron menegaskan bahawa pengiktirafan Palestin adalah “jalan untuk menyelamatkan nyawa awam” dan membuka pintu kepada penyelesaian dua negara.

Kenyataan ini hadir seiring dengan langkah beberapa negara Barat lain sejak tahun lalu termasuk Ireland, Sepanyol, Norway dan Slovenia.
Tahun ini ditambah oleh Britain, Kanada, Australia dan Portugal yang turut mengiktiraf Palestin.
Dari sudut pandang luar, ia kelihatan seperti satu lonjakan moral yang besar.
Namun, sejarah panjang sikap Barat terhadap Palestin serta penglibatan kuasa besar dalam isu serantau menunjukkan bahawa optimisme ini perlu ditanggapi dengan penuh kritikal.
Pengiktirafan masih bersifat simbolik
Pengiktirafan rasmi sememangnya menambah legitimasi Palestin di pentas antarabangsa.
Ia memberi tekanan moral kepada Israel dan menyampaikan mesej bahawa penjajahan tidak boleh dibiarkan berterusan.

Namun, tanpa tindakan tegas seperti sekatan senjata, boikot perdagangan atau tekanan diplomatik secara langsung, pengiktirafan ini hanya berfungsi sebagai simbol.
Gaza kekal di bawah kepungan, Tebing Barat terus dimamah penempatan haram dan jutaan rakyat Palestin masih kehilangan tanah serta hak asasi.
Perancis misalnya masih menegaskan Palestin perlu menjadi negara “demiliterized” iaitu satu bentuk pengiktirafan bersyarat yang melemahkan kedaulatan.
Ireland, Norway, Sepanyol dan Slovenia pula menekankan aspek moral, tetapi masih berhati-hati untuk mengorbankan kepentingan ekonomi mereka bersama Israel dan Amerika Syarikat.
Maka jelas, pengiktirafan ini berisiko menjadi sekadar kosmetik iaitu menenangkan hati rakyat Eropah yang prihatin, tetapi tidak mengubah realiti Palestin.
Retorik lama dalam wajah baharu
Retorik pengiktirafan ini mengingatkan kita kepada janji Perjanjian Oslo pada 1993.
Dunia Barat ketika itu menjanjikan penyelesaian dua negara, tetapi selepas tiga dekad, Palestin hanya menjadi lebih terpecah, penempatan Israel berkembang, dan angka korban terus meningkat.
Gelombang pengiktirafan oleh Perancis dan sekutunya kini berisiko mengulangi pola lama iaitu memberi harapan tanpa tindakan, sambil membiarkan status quo berterusan.
Tambahan pula, tawaran 21 poin White House untuk Gaza yang baru diumumkan membuktikan bagaimana pelan-pelan ini sekadar mengitar semula formula lama.
Disalut dengan bahasa “pembangunan” dan “keamanan”, ia sebenarnya mengekalkan struktur penindasan.
Antara intipati utama pelan ini termasuk:
● Tuntutan agar Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya;
● Gaza dijadikan kawasan demiliterisasi di bawah pemantauan antarabangsa;
● Kawalan sempadan dan aliran bantuan kemanusiaan diletakkan di bawah mekanisme antarabangsa yang dipimpin Barat;
● Hanya “pemerintahan sederhana” yang selari dengan kepentingan Washington dan Tel Aviv boleh diiktiraf sebagai wakil Palestin;
● Keselamatan Israel diletakkan sebagai syarat utama yang mengatasi semua perkara lain.
Keseluruhan cadangan ini bukanlah jalan ke arah kebebasan Palestin, tetapi strategi untuk mengunci Gaza dalam keadaan terkawal.
Hakikatnya, pelan ini tidak berbeza dengan Oslo, “Roadmap for Peace” atau bahkan “Deal of the Century”.
Kesemuanya berkongsi satu asas iaitu Palestin perlu mengalah, Israel terus untung.
Kedatangan Trump ke ASEAN dan Malaysia: Ancaman terselindung
Dalam masa yang sama, rantau ini menunggu kehadiran Donald Trump ke Persidangan ASEAN Oktober ini, dengan Malaysia sebagai salah satu destinasinya.

Kedatangan Trump mungkin diraikan sesetengah pihak sebagai peluang kerjasama, tetapi ia juga membawa risiko besar terhadap kedaulatan negara.
Trump terkenal dengan pendekatan “pragmatik” yang berorientasikan hasil segera.
Namun, dalam isu Gaza, pragmatisme itu bermakna mengutamakan keselamatan Israel, menolak gencatan senjata menyeluruh dan menekan pihak Palestin agar menerima syarat berat sebelah.
Ini bukan pragmatisme yang menyelesaikan konflik, tetapi pragmatisme yang mengunci Palestin dalam penindasan.
Jika pendekatan yang sama dibawa ke ASEAN, negara-negara rantau termasuk Malaysia mungkin terdedah kepada tekanan untuk tunduk kepada agenda Washington, dengan alasan “keamanan” atau “keuntungan bersama”.
Pengalaman Teluk sebagai amaran
Lawatan Trump ke negara-negara Teluk awal tahun ini memberi gambaran jelas bagaimana kedaulatan boleh tergugat.
Dalam lawatan itu, Trump menandatangani perjanjian senjata bernilai berbilion dolar, menekan beberapa negara Teluk agar menyokong strategi geopolitik Amerika Syarikat di rantau dan pada masa yang sama tidak menyentuh langsung isu keadilan buat Palestin.
Negara-negara Teluk yang terlibat akhirnya kelihatan semakin terikat dengan Washington, bukan sahaja dalam aspek keselamatan tetapi juga dalam dasar luar mereka.
Sekiranya pola ini berulang di Asia Tenggara, kedatangan Trump ke Malaysia dan ASEAN boleh menukar platform diplomasi menjadi gelanggang tekanan politik.
Negara-negara rantau berisiko dipaksa membuat kompromi terhadap dasar ekonomi, keselamatan maritim atau hubungan dengan China demi memenuhi kepentingan Amerika Syarikat.
Pelajaran daripada sejarah penjajahan
Sejarah penjajahan membuktikan bahawa pengiktirafan dan hubungan diplomatik sering digunakan kuasa besar sebagai alat pengaruh.
Filipina “dimerdekakan” daripada Sepanyol hanya untuk dijadikan protektorat Amerika.
Negara-negara Afrika selepas Perang Dunia Kedua diiktiraf merdeka, tetapi tetap dikawal melalui sistem ekonomi.
Asia Tenggara juga mengalami cubaan kuasa besar mengekalkan pengaruh walaupun selepas kemerdekaan rasmi dicapai.
Maka, optimisme terhadap pengiktirafan Barat terhadap Palestin harus dilihat dengan penuh berhati-hati.
Begitu juga, kedatangan Trump ke ASEAN bukan sekadar acara diplomasi, tetapi berpotensi menjadi saluran baharu dominasi kuasa besar.
Kesimpulan: Realisme mengatasi optimisme
Optimisme mudah ditiup melalui ucapan pemimpin Barat atau pengiktirafan rasmi.
Namun, realisme mengingatkan kita bahawa tanpa tindakan tegas sekatan ekonomi, tekanan diplomatik dan perlindungan kemanusiaan, Palestin tetap kekal dijajah.
Begitu juga, kehadiran Trump di Malaysia dan ASEAN mungkin diraikan sebagai tanda hubungan erat, tetapi sejarah menunjukkan ia boleh membawa kesan jangka panjang yang menggugat kedaulatan.
Sejarah mengajar bahawa kebebasan sebenar tidak pernah lahir daripada retorik kuasa besar.
Ia hanya dapat dicapai melalui keteguhan bangsa mempertahankan haknya sendiri, tanpa tunduk kepada dominasi luar.
Inilah mesej yang harus kita hayati, sama ada untuk Palestin, Malaysia, mahupun rantau ASEAN secara keseluruhannya.
* Penulis merupakan seorang pengurus di sebuah rumah penerbitan. Di samping itu, beliau juga aktif sebagai pemerhati situasi Palestin dengan minat khusus dalam isu kemanusiaan, sejarah dan politik Asia Barat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






