Banjir Sabah: Kerugian sektor agromakanan dianggar RM2.2 juta
PAPAR – Banjir besar yang melanda beberapa kawasan di negeri ini baru-baru ini mengakibatkan sektor agromakanan mengalami kerugian kira-kira RM2.2 juta.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah itu bagaimanapun masih di peringkat penilaian awal oleh Jawatankuasa Teknikal di peringkat jabatan dan agensi berkaitan.
Beliau berkata, maklumat mengenai penilaian itu akan digunakan untuk mengemukakan permohonan bantuan Tabung Bencana Pertanian (TBP) dan Tabung Bencana Ternakan dan Perikanan (TBTP) dari kementeriannya (KPTM).
“Bagi sektor tanaman padi, sebanyak 109 pesawah terjejas membabitkan kawasan seluas 113.43 hektar dengan anggaran kerugian RM519,963.
“Manakala bagi tanaman selain padi, termasuk nanas, cili dan sayur-sayuran, 61 petani terjejas dengan keluasan 78.95 hektar serta kerugian dianggarkan RM748,200,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Sayur Hidroponik di Kampung Gadong, di sini hari ini.
Tambah beliau, sektor ternakan juga tidak terkecuali dengan 23 penternak mengalami kerugian RM504,350 membabitkan kematian ternakan seperti itik dan kambing serta kerosakan infrastruktur.
“Dalam sektor perikanan pula, 51 individu termasuk nelayan laut terjejas dengan kerugian RM208,790 manakala 58 usahawan tani menanggung kerugian sebanyak RM257,000,” katanya memetik laporan Bernama.
Sehubungan itu Mohamad Sabu menyarankan petani dan penternak menyalurkan maklumat berkaitan kerosakan sekiranya tiada pegawai kementerian datang ke kawasan mereka.
Ujar beliau, menerusi Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM25 juta kepada (KPTM) untuk melaksanakan TBP dengan RM15.9 juta telah diluluskan dan disalurkan oleh Kementerian Kewangan setakat ini.
“Daripada jumlah ini, sembilan permohonan telah diterima dari Sabah di daerah Penampang, Putatan, Kudat, Beaufort, Ranau dan Tenom dengan jumlah bantuan keseluruhan RM212,271,” katanya.
Pada majlis itu beliau turut menyampaikan bakul makanan bernilai RM20,000 kepada ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Papar, menyantuni keluarga petugas Sabah Electricity (SE) yang lemas dibawa arus banjir di Keningau dan melawat kawasan sawah padi yang terjejas di Kampung Rampazan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








