BERITA SEMASA

Rakyat Malaysia diseru kukuhkan perpaduan, dukung usaha PM capai keamanan di Asia Barat

CYBERJAYA – Rakyat Malaysia diseru supaya bersatu hati mempertahankan kedaulatan negara serta bersolidariti bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan keamanan Asia Barat dan Palestin.

Setiausaha Agung, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Azizudin Ahmad berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan rasmi Anwar di Sidang Kemuncak Kecemasan Arab-Islam yang berlangsung di Doha, semalam.

“Perdana Menteri dalam ucapannya dengan tegas mengutuk serangan udara Israel ke atas Doha, satu tindakan yang beliau sifatkan sebagai ‘barbarik, tidak berperikemanusiaan dan pencabulan kedaulatan negara berdaulat.’

“WADAH berpandangan, serangan ini bukan sahaja ancaman kepada Qatar, bahkan serangan kepada seluruh umat dan prinsip keamanan antarabangsa,” kata Azizudin dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, negara Islam mesti memutuskan hubungan diplomatik denga Israel secara kolektif dan menyegerakan penempatan pasukan tentera pendamai antarabangsa ke Gaza atas nama kemanusiaan demi menghentikan pertumpahan darah.

“Pada masa yang sama, segala bentuk perdagangan dan kerjasama dengan rejim Zionis perlu dihentikan dan menyokong misi kemanusiaan, khususnya Global Sumud Flotilla yang turut disertai oleh jaringan WADAH melalui Global Peace Mission (GPM).

“Kami juga menyeru dunia Islam supaya menggunakan tekanan politik dan ekonomi untuk mendesak pengiktirafan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dan menggerakkan kuasa kolektif negara Arab-Islam untuk memutuskan dagangan dengan Israel serta menghentikan import senjata dari Amerika Syarikat dan Barat,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button