Didapati bersalah fitnah MB Kedah: Saifuddin akan fail rayuan di Mahkamah Rayuan
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang memutuskan Menteri Dalam Negeri itu bersalah memfitnah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pada 2023.
Saifuddin berkata, setelah meneliti keputusan tersebut bersama pasukan guaman, beliau berpendirian terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu.
“Saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi. Pada masa yang sama, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak mahkamah atas perhatian, masa dan pertimbangan yang telah diberikan sepanjang prosiding berlangsung.
“Justeru, saya telah mengarahkan peguamcara saya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Saya juga akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai seorang yang menghormati prinsip keluhuran undang-undang, katanya, beliau percaya sistem kehakiman negara akan memberikan ruang yang adil baginya mengemukakan hujah dan mempertahankan kebenaran.
“Saya ingin menegaskan bahawa segala kenyataan yang saya keluarkan sebelum ini adalah berasaskan tanggungjawab saya dalam menyuarakan isu-isu kepentingan awam.
“Saya akan terus berpegang pada prinsip bahawa keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban adalah asas penting dalam amalan demokrasi,” katanya.
Mahkamah Tinggi Alor Star hari ini mendapati Menteri Dalam Negeri itu bersalah memfitnah Menteri Besar Kedah itu atas tuduhan berkait dakwaan Muhammad Sanusi mencuri unsur nadir bumi (REE) dan penyelewengan wang peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
Berikutan itu, Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee memerintahkan Saifuddin membayar ganti rugi am berjumlah RM600,000 dan kos RM70,000 kepada Muhammad Sanusi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








