PRN: UMNO harap bertanding lebih 16 kerusi di Negeri Sembilan
SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan berharap parti itu diberi kepercayaan bertanding lebih daripada 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Laporan Utusan Online yang memetik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias sebagai berkata, beliau dan rakan kepimpinan UMNO di negeri ini percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap permintaan UMNO menambah bilangan kerusi yang akan ditandinginya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, hasrat UMNO adalah untuk mempertahankan 16 kerusi DUN yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan memohon menambah dua kerusi lagi dalam PRN kali ini.
“Saya jangka kerusi UMNO akan bertambah cuma jumlah itu hanya akan diumumkan oleh Majlis Presiden kerajaan Perpaduan dalam masa terdekat,” katanya kepada para pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Kepimpinan Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan, di sini.
Jalaluddin turut berkata, telah menghantar nama semua nama calon BN yang dicadang bertanding dalam PRN kali ini telah dihantar kepada pimpinan tertinggi parti.
Jelasnya, semua calon berkenaan telah disaring dan ditapis sebelum dihantar kepada Pengerusi BN untuk dipilih secara muktamad.
“Calon kali ini dipilih berdasarkan kewibawaan, sedia berkhidmat untuk rakyat dan yang penting menjiwai hati nurani dan keperluan rakyat di kawasan masing-masing.
“Sebab itu saya teliti sebelum saya senaraikan calon-calon ini,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan, tidak ada pertukaran kerusi akan dibuat antara BN dan PH di negeri ini.