Pelantikan M Kumar bukan isu perkauman – Anwar
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelantikan Datuk M Kumar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bukanlah isu perkauman, sebaliknya dibuat berdasarkan kelayakan serta kemampuan beliau memikul tanggungjawab.
Anwar berkata, tiada masalah siapa pun yang dilantik selagi individu tersebut mampu melaksanakan tugas dengan baik.
“Ada yang bangkitkan di Parlimen, kononnya JSJ itu 90 peratus Melayu, tapi ketuanya Kumar, seorang India. Pada saya, itu bukan masalah.
“Ketua Polis Negara masih Melayu, timbalannya Melayu, pengarah-pengarah lain pun ramai Melayu. Yang penting, siapa yang layak, dia jalankan tugas,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Sebelum ini, seorang pemimpin pembangkang secara sinis mengucapkan tahniah kepada Kumar dan mendakwa Malaysia sudah mula menerima konsep ‘Malaysian Malaysia’.
Pemimpin itu turut menyentuh mengenai Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Datuk Johnny Lim Eng Seng yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mengulas perkara itu, Anwar menegaskan beliau terkilan apabila ada pihak mendakwa kuasa Melayu kian terhakis.
“Ada yang kata kuasa Melayu akan terhakis, semuanya kita serah kepada Cina. Ini dialog yang akan berterusan dalam negara berbilang kaum dan agama.
“Tengok negara lain, minoriti sering dipinggirkan. Cari seorang hakim atau pegawai tinggi pun susah. Tapi kita tidak mahu jalankan dasar begitu di Malaysia,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








