BERITA SEMASADALAM NEGERI

Lebih 50,000 Jalur Gemilang dipasang di Wilayah Persekutuan menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2025

PUTRAJAYA – Sebanyak 51,150 Bendera Malaysia telah dipasang di jalan-jalan protokol, kawasan awam dan kawasan perumahan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) memaklumkan, amalan mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar rutin tahunan, sebaliknya menjadi simbol penyatuan rakyat yang melangkaui bangsa, agama dan latar belakang.

“Setiap bendera yang dikibarkan menggambarkan semangat keberanian, kesetiaan dan kebanggaan rakyat terhadap tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa hari ini menyempurnakan sesi penyerahan dan pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan-kenderaan rasmi jabatan di Menara Seri Wilayah, di sini hari ini.

Sesi penyerahan berkenaan disertai oleh 25 buah kenderaan rasmi daripada pelbagai agensi, manakala sebanyak 700 Bendera Malaysia turut diedarkan sepanjang program berlangsung.

Agensi terlibat termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan; Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan; Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Turut terlibat, Urusetia Jawatankuasa Kerja Tanah (UJKT); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK); Askar Wataniah Malaysia serta RELA.

Tambah kenyataan Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), program itu bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan serta memperkukuh semangat patriotisme.

Menurut kenyataan itu, mengibar Jalur Gemilang pada kenderaan rasmi kerajaan dan agensi juga membawa mesej bahawa Malaysia adalah rumah bersama yang harus dipelihara dengan semangat kebersamaan.

“Usaha itu turut memperteguh identiti nasional, memperkukuh semangat perpaduan serta memupuk kecintaan terhadap tanah air.

“Malaysia Madani adalah ikatan hati yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia menuju masa depan yang lebih cerah, makmur dan harmoni,” jelas kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button