JENAYAH & MAHKAMAH

Sebutan semula kes dakwaan amang seksual Naim Daniel didengar pagi ini

PUTRAJAYA – Sebutan semula kes pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun melibatkan penyanyi dan pelakon, Naim Daniel dijalankan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Memetik laporan BH Online, Naim dipercayai hadir di Mahkamah Sesyen di sini, sebelum jam 8 pagi.

Pada 17 Jun lalu, Naim atau nama penuh, Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, ketika dihadapkan ke mahkamah sama, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.

Mengikut pertuduhan, Naim didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun 7 bulan bagi tujuan seksual pada 19 Mei lalu pada jam kira-kira 8.56 malam di Ukiyo Hotel di Petaling Jaya, Selangor.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin, manakala Naim diwakili peguam Datuk Amirul Ridzuan dan Mohd Irwan Sumadi.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, arahan tuduh ke atas suspek diperoleh daripada Pejabat Pendakwaraya Selangor.

Beliau berkata, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Media sebelum ini melaporkan selebriti terkenal yang ditahan berhubung kes amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun, baru-baru ini didakwa baru kali pertama membawa mangsa ke hotel.

Maklumat itu dilapor diperoleh selepas polis menjalankan soal siasat ke atas lelaki tersebut. Suspek dan mangsa yang juga pelajar berkenalan kira-kira dua bulan lalu.

Pada 3 Jun lalu, Naim dilapor ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor. Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button