Australia akan iktiraf Palestin sebagai sebuah negara bulan depan
CANBERRA – Kerajaan Australia mengumumkan akan mengiktiraf negara Palestin ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan depan.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, penyelesaian ‘Dua Negara’ adalah jalan terbaik untuk memutuskan kitaran keganasan di Asia Barat serta menamatkan konflik, penderitaan dan kebuluran di Tebing Gaza.
“Kita mesti mencari jalan politik untuk membawa keamanan yang berkekalan,” katanya dalam satu sidnag media, di sini hari ini.
Australia sebelum ini mengekalkan pendirian dwipartisan bahawa Israel dan Palestin harus hidup berdampingan secara aman di bawah penyelesaian dua negara dalam sempadan yang diiktiraf antarabangsa.
Bagaimanapun, pendirian itu berubah susulan desakan dari dalam negara dan langkah sekutu Australia termasuk United Kingdom (UK), Perancis dan Kanada yang sudah menyatakan kesediaan mengiktiraf Palestin bulan depan.
Pengiktirafan itu tidak akan mengubah kedudukan Palestin secara serta-merta, namun ia dianggap bersejarah dan akan menambah tekanan kepada Israel serta Amerika Syarikat (AS) untuk mencari jalan penyelesaian.
Sebelum ini, UK juga menyatakan akan mengiktiraf Palestin pada mesyuarat PBB September ini melainkan Israel bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza dan meneruskan bantuan kemanusiaan.
Kanada dan Perancis turut mengumumkan hasrat mengiktiraf Palestin dengan syarat Hamas tidak terbabit dalam pentadbirannya.
Jika Perancis dan United Kingdom mengiktiraf Palestin, AS akan menjadi satu-satunya negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang belum berbuat demikian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








