Nie Ching ziarah Sathia, Dino
KUALA LUMPUR – Prihatin terhadap nasib artis veteran yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan, Kerajaan MADANI meneruskan komitmennya membela kebajikan penggiat seni tanah air.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hari ini turun padang menziarahi dua figura seni tanah air, pelakon dan pelawak popular era 90-an, Sathia Periasamy serta anggota kumpulan Nico G, Mohd. Shah Rosli atau Dino yang kini berdepan ujian kesihatan.
Sathia yang pernah mencuit hati rakyat Malaysia menerusi pelbagai watak komedi di layar kaca, baru-baru ini menjalani pembedahan kecil akibat komplikasi diabetes.
Dino pula disahkan mengalami strok ringan sejak tiga minggu lalu.
“Bagi pihak Kementerian Komunikasi bersama FINAS dan Persatuan Seniman, kami menyampaikan sedikit bantuan kewangan dan buah-buahan sebagai tanda prihatin serta sokongan moral buat mereka dan keluarga,” ujar Teo menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam kunjungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga kedua-dua artis, kakitangan perubatan Hospital Ampang, Affa dari Nico G serta rakan-rakan media yang turut hadir memberi sokongan.
Teo turut menyeru agar lebih ramai penggiat seni tampil mendapatkan bantuan jika berdepan kesulitan, khususnya melalui saluran sedia ada seperti Persatuan Seniman, FINAS dan Kementerian Komunikasi.
“Jangan segan. Kita sentiasa ada untuk bantu. Pasti ada sinar buat semua,” katanya ringkas namun penuh makna.
Kunjungan tersebut bukan sekadar simbolik, malah memperlihatkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan tiada artis veteran yang terpinggir, selaras dengan semangat inklusif dan kepedulian yang menjadi teras pentadbiran hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













