Seminar Kependudukan Johor 2025: Wacana masa depan keluarga, demografi negeri selatan
DALAM landskap demografi yang semakin mencabar, isu kependudukan dan masa depan institusi keluarga menjadi tumpuan utama negeri Johor.
Data menunjukkan kadar kelahiran menurun, perkahwinan semakin lewat dan masyarakat perlahan-lahan memasuki fasa menua.
Menyedari hakikat ini, Seminar Kependudukan Negeri Johor 2025 yang berlangsung di Dewan Seroja, Kompleks Penyayang Kempas baru-baru ini hadir sebagai platform strategik untuk merungkai cabaran dan mencari penyelesaian yang inklusif.

Penganjuran seminar oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Johor dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu menekankan betapa pentingnya suara anak muda dalam membentuk masa depan keluarga dan komuniti negeri.
Penolong Naib Canselor (Strategi dan Kesohoran Global) UTM, Prof Madya Dr Abdul Rashid Husain berkata, seminar sebegini bukan sahaja signifikan dari sudut pengukuhan dasar, malah menjadi jambatan ilmu antara akademia, pembuat dasar dan komuniti.
“Seminar ini membuka ruang wacana yang konstruktif serta memperkukuh jaringan antara ahli akademik, pembuat dasar dan masyarakat.
“Saya percaya resolusi yang terhasil akan membantu merangka polisi lebih inklusif dan berpaksikan kesejahteraan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Tribune.
Beliau turut menegaskan komitmen UTM untuk terus mendokong penyelidikan berimpak tinggi, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat nilai ihsan dan kemampanan sebagai asas pembangunan negara.
Tumpuan seminar itu turut digarap dalam ucapan perasmian Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau mengingatkan Malaysia kini sedang melalui peralihan daripada negara muda kepada negara menua iaitu fenomena yang membawa implikasi besar terhadap sosial dan ekonomi.
Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Johor kini memiliki 4.2 juta penduduk, dengan 28.6 peratus adalah golongan muda berusia 15 hingga 29 tahun dan 12 peratus warga emas.
Lebih membimbangkan, kadar kesuburan negeri ini pada 2023 hanya 1.8 anak setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian penduduk 2.1.
“Perubahan ini bukan sekadar angka, ia memberi kesan langsung kepada sistem kesihatan, keperluan sosial dan daya tahan ekonomi negeri Johor,” tegas beliau.

Corak kelewatan perkahwinan turut menjadi kebimbangan. Bilangan perkahwinan di Johor menurun kepada 24,142 pada 2023, berbanding 26,237 pada tahun sebelumnya.
Tekanan kewangan, tuntutan kerjaya dan kesukaran mencari pasangan serasi dikenal pasti antara faktor utama.
Menurut Noraini, kerajaan kini memperkukuh ekosistem sokongan keluarga melalui pelbagai inisiatif.
“Antaranya Dasar Keluarga Negara, penubuhan Pusat Subfertiliti Negara menjelang 2029, Program Bantuan Rawatan Kesuburan (BuAI) untuk 30,000 pasangan, subsidi TASKA, cuti bersalin fleksibel serta program pendidikan kesihatan reproduktif seperti PEKERTI, SMARTSTART dan Kafe@TEEN.
“Langkah ini bertujuan mewujudkan suasana kondusif bagi anak muda membina keluarga tanpa rasa terbeban,” ujarnya.
Seminar yang merangkumi empat tema utama iaitu kesejahteraan wanita, perkahwinan lewat, kesuburan dan negara menua itu diharap menjadi pemangkin kepada dasar-dasar yang lebih mesra belia dan berkesan bagi mendepani cabaran demografi Johor.
“Perubahan demografi memerlukan ekosistem yang menyokong generasi muda dari akar umbi hingga peringkat dasar,” tuturnya.

Apa yang pasti, Seminar Kependudukan Negeri Johor 2025 akhirnya menjadi lebih daripada sekadar pertemuan ilmiah.
Ia adalah cerminan realiti bahawa masa depan negeri ini bergantung pada sejauh mana masyarakat, khususnya generasi muda berani dan bersedia memikul tanggungjawab membina keluarga yang kukuh dan sejahtera.
Dengan komitmen bersama antara kerajaan, akademia dan komuniti, cabaran demografi bukan sekadar risiko yang perlu ditangani, tetapi peluang untuk menata semula dasar, memperkukuh institusi keluarga dan membina Johor yang lebih inklusif serta berdaya tahan.
Jika wacana yang bermula di Dewan Seroja ini diterjemahkan kepada tindakan berkesan, maka harapan untuk melihat generasi Johor yang seimbang antara kekuatan ekonomi, sosial dan nilai kekeluargaan bukan lagi sekadar retorik tetapi realiti yang mampu diwariskan kepada masa depan negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







