Ketua Polis Daerah Jerantut meninggal dunia akibat serangan jantung
JERANTUT – Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya di Taman Saujana Utama, di sini, hari ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata Allahyarham yang mempunyai rekod rawatan sakit jantung, menghembuskan nafas terakhir ketika sendirian di rumah.
Beliau berkata, terdahulu pemandu kepada arwah pergi ke rumah Zukri, 59, selepas dimaklumkan bahawa pegawai kanan itu tidak menjawab panggilan telefon sejak jam 2 petang.
“Setiba di kediaman Allahyarham, pemandu itu yang juga seorang anggota polis mendapati pintu rumah berkunci.
“Selepas memberi salam serta memanggil tetapi tiada jawapan, anggota itu memecahkan pintu rumah dan menemui Allahyarham dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri,” katanya memetik Buletin TV3.
Berikutan itu, Yahaya berkata, anggota berkenaan menghubungi Hospital Jerantut sebelum penolong pegawai perubatan tiba di rumah terbabit kira-kira jam 3 petang dan mengesahkan Zukri sudah meninggal dunia.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada pasukan kerana beliau adalah antara pegawai kanan polis yang cemerlang serta komited sepanjang menjalankan tugas,” katanya.
Allahyarham dilantik sebagai Ketua Polis Jerantut sejak 23 April tahun lalu dan dijadualkan bersara wajib pada Ogos depan.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Krau, Raub, selepas maghrib ini.
Zukri yang juga seorang duda, meninggalkan seorang anak perempuan yang bertugas sebagai guru.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















