AGAMA

Dosa besar tinggalkan solat Jumaat tanpa uzur, hati dipateri

KUALA LUMPUR – Umat Islam diingatkan agar tidak memandang ringan kewajipan solat Jumaat, apatah lagi sengaja meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran yang sah.

Menurut peringatan yang dikongsikan pendakwah bebas, Abu Abbas Muhammad Shahir, tindakan itu bukan sahaja berdosa besar, malah mengundang ancaman serius sebagaimana ditegaskan dalam beberapa hadis Rasulullah SAW.

“Jika seseorang itu benar-benar uzur, maka Allah Maha Mengetahui dan Maha Pengampun.

Namun, bagi yang sengaja meninggalkannya, sekadar duduk santai di rumah, berbual atau menonton televisyen, ia merupakan perbuatan yang sangat berat di sisi agama,” tulisnya melalui saluran WhatsApp Pencinta Rasulullah SAW.

Antara ancaman besar yang disebut dalam hadis termasuklah:

1. Ancaman dibakar rumah

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku berniat untuk menyuruh seseorang solat bersama orang lain (jemaah), kemudian aku akan membakar rumah-rumah mereka yang meninggalkan solat Jumaat.” – [Hadis Riwayat Muslim]

Walaupun perbuatan itu tidak pernah dilakukan Nabi SAW, ancaman tersebut cukup menggambarkan betapa Baginda sangat murka terhadap mereka yang melalaikan solat Jumaat.

2. Hati akan dimaterikan (mati)

Dalam hadis lain, Baginda bersabda: “Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali tanpa keuzuran berat, nescaya Allah akan mematerikan hatinya.” – [Hadis Riwayat An-Nasa’ie]

Menurut Abu Abbas, istilah ‘mematerikan hati’ lebih berat berbanding ‘tertutup’ kerana apabila hati sudah dimateri, segala nasihat tidak lagi memberi kesan dan seseorang itu mudah terjebak dalam maksiat yang lebih besar.

3. Seolah-olah mencampak Islam

Rasulullah ﷺ turut bersabda: “Sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa sebarang uzur, maka telah mencampakkan Islam di belakangnya.” – [Riwayat Majma’ Az-Zawaid]

Jelas beliau, perbuatan meninggalkan solat Jumaat tanpa sebab seolah-olah menunjukkan seseorang itu berani mempermainkan agama dan membuang identiti Islam daripada dirinya.

Beliau menegaskan nasihat itu ditujukan kepada seluruh saudara seagama dan jiran tetangga yang masih mengambil mudah kewajipan solat Jumaat.

Beliau turut menyeru agar mesej itu disebarkan demi menghidupkan budaya amar makruf nahi mungkar.

“Aku sayang kalian kerana Allah. Moga solat dan puasa kita benar-benar memberi kesan dan menjauhkan kita daripada kemurkaan-Nya,” katanya mengakhiri catatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button