Langkah Kerajaan MADANI bukti keprihatinan terhadap rakyat – Fahmi
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan pengumuman langkah-langkah terbaharu oleh Perdana Menteri sebagai bukti keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan rakyat dan usaha berterusan memastikan kestabilan ekonomi negara.
Menurut beliau, pengumuman tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam mendengar denyut nadi rakyat serta keazaman untuk meringankan beban hidup menerusi pelbagai bentuk bantuan yang disasarkan.
“Langkah yang diambil ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam menyeimbangkan keperluan meningkatkan kedudukan kewangan negara dengan tanggungjawab menjaga kesejahteraan rakyat.
“Ia bukan keputusan sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan pertimbangan yang teliti dan berpaksikan prinsip keadilan sosial serta kemampanan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Fahmi berkata, pendekatan itu dijangka merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara, memberikan kelegaan kepada rakyat dan dalam masa sama mengukuhkan daya tahan fiskal dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyemarakkan semangat patriotik dan cinta akan tanah air.
“Inilah masanya untuk kita bersatu hati dan jiwa, menghargai nikmat kemerdekaan serta bersama-sama menyumbang ke arah kemakmuran negara,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan komited meneruskan agenda pembangunan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan Malaysia MADANI yang sedang dirangka demi kesejahteraan seluruh rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








