Durian MS88 tarikan terbaharu Agro Pelancongan MARDI Kuala Kangsar
MS88, Gabungan D10 dan D24 menawarkan keseimbangan rasa manis dan sedikit pahit, menjadikannya kegemaran baharu peminat durian.
KUALA KANGSAR – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kembali menganjurkan Program Durian Tourism bersempena musim durian yang sedang rancak di Durio Toursim, MARDI Kuala Kangsar.

Program itu disertai 30 pengamal media daripada pelbagai agensi yang berpeluang merasai hasil MARDI termasuk varieti istimewa MARDI Super 88 (MS88) sekali gus memperkenalkan raja buah baharu yang kian diminati.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Haji Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, inisiatif agro pelancongan berkenaan adalah usaha berterusan mempromosikan hasil penyelidikan agensi itu khususnya dalam sektor tanaman durian dan varieti baharu yang sedang dibangunkan.
“Pada musim ini, kebun dibuka kepada orang awam sehingga pertengahan Ogos selagi bekalan durian mencukupi.
“Bayaran masuk ialah RM50 seorang termasuk jamuan ‘makan sepuasnya’.
Setiap hari, sekurang‑kurangnya tiga trip tram membawa pengunjung dari pintu masuk ke kawasan dusun,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Katanya, program tersebut mampu menjana sekitar RM50,000 setiap musim melalui jualan tiket dan buah segar kepada pelawat.

Varieti MS88 merupakan hasil kacukan D10 dan D24 dan menawarkan keseimbangan rasa manis dan sedikit pahit, menjadikannya kegemaran baharu peminat durian.
“Sebanyak 13,000 pokok MS88 telah ditanam di seluruh negara sejak empat tahun lalu. Harganya juga lebih mampu milik, sekitar RM20 hingga RM25 sekilogram berbanding Musang King yang mencecah RM60,” jelasnya.
Dalam pada itu, MARDI juga sedang mempertimbangkan penjenamaan semula MS88 dengan nama komersial yang lebih ‘catchy’, selaras trend pasaran seperti Tupai King, Black Thorn dan Musang King.
“Penjenamaan kreatif penting agar MS88 lebih dikenali.
“Selain itu, teknologi penyimpanan MARDI membolehkan durian segar disimpan antara dua hingga enam bulan, sekali gus membuka peluang eksport, khususnya ke China,” katanya.
Tambahnya, pusat pengumpulan sedang dirancang bagi memudahkan pengeksport menggabungkan hasil daripada penanam seluruh negara.
Dengan pokok MS88 yang semakin matang, varieti itu dijangka menembusi pasaran eksport secara besar‑besaran dalam tempoh lima hingga enam tahun.
Dalam usaha memperkukuh industri durian, MARDI kini menilai tiga varieti hibrid baharu yang sedang diuji di Jerangau, Kuala Kangsar dan beberapa lokasi lain.
“Kami menilai kesesuaian varieti tersebut mengikut lokasi dan iklim. Jika semuanya berjalan lancar, satu atau dua tahun lagi varieti baharu itu akan dilancarkan,” katanya.
Mohamad Zabawi mengatakan komitmen MARDI menjadikan Durian Tourism sebagai acara tahunan, bukan sahaja di Kuala Kangsar tetapi juga di Sintok, Jerangau dan Kluang.
“Kami mahu durian menjadi pemangkin pelancongan dan ekonomi luar bandar. Kerjasama media penting bagi menyebar luas inisiatif ini,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








