BERITA SEMASA

Malaysia-Jepun perkukuh hubungan strategik pendidikan tinggi

PUTRAJAYA – Malaysia dan Jepun terus memperkukuh hubungan strategik dalam bidang pendidikan tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kerjasama itu terus diperkukuh menerusi kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata, di sini semalam.

Dalam pertemuan itu, Zambry dan Noriyuki turut mengadakan perbincangan konstruktif melibatkan agenda pengantarabangsaan pendidikan, perkongsian ilmu serta pembangunan bakat menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)

“Salah satu pencapaian utama yang dibincangkan ialah penubuhan University of Tsukuba Malaysia, iaitu kampus cawangan luar negara pertama oleh sebuah universiti Jepun.

“Turut dibincangkan peranan strategik Malaysia-Japan Linkage Office di Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“MJIIT akan terus berfungsi sebagai jambatan penting yang menghubungkan institusi akademik dan industri kedua-dua negara, selaras dengan misi memajukan inovasi dan penyelidikan rentas sempadan,” kata Zambry dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Kerjasama erat itu turut memperlihatkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, berdaya saing dan bertaraf global dan membuka lebih banyak peluang mobiliti akademik, pemindahan teknologi serta pembangunan kepakaran antara kedua buah negara.

“Pertemuan ini menjadi bukti bahawa kerjasama Malaysia-Jepun dalam bidang pendidikan tinggi bukan sahaja kekal relevan, malah semakin dinamik dalam menghadapi cabaran global masa kini,” kata Zambry lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button