BERITA SEMASA

KKM keluar garis panduan tangani buli di fasiliti kesihatan Oktober ini

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di klinik dan hospital kerajaan pada Oktober ini sebagai usaha membanteras gejala buli serta mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan harmoni dalam sektor kesihatan awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelancaran rasmi akan dibuat sempena sambutan Bulan Kesihatan Mental Sedunia sebelum dokumen itu diedarkan ke semua fasiliti kesihatan di bawah KKM.

“Langkah ini bertujuan memperkukuh ekosistem sokongan sedia ada termasuk sistem MyHelp dan menunjukkan kesungguhan KKM dalam menjaga kesejahteraan psikososial warga kerjanya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, garis panduan berkenaan akan memperincikan prosedur pelaporan kes buli, di samping langkah-langkah pencegahan dan intervensi terhadap individu serta organisasi yang terlibat.

Pada 1 Oktober 2022, KKM memperkenalkan sistem MyHelp sebagai saluran aduan dalam talian bagi membolehkan aduan berkaitan insiden buli dibuat secara terus kepada Unit Integriti tanpa perlu melalui penyelia atau ketua jabatan.

Daripada 355 aduan diterima menerusi sistem itu setakat September 2024, empat daripadanya membabitkan kes buli kakitangan perubatan yang telah disahkan berasas dan diambil tindakan lanjut.

Media sebelum ini turut melaporkan beberapa doktor di sebuah hospital awam di Sabah tampil berkongsi pengalaman dibuli secara lisan dan fizikal, termasuk dihambur kata-kata kesat, lucah, berbaur perkauman serta diugut dengan senjata tajam.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly turut mengulas isu kekurangan jururawat di fasiliti awam dan memaklumkan sebanyak 14,000 kekosongan jawatan dikenal pasti setakat Jun lalu.

Menurutnya, ketika ini terdapat seramai 120,667 jururawat termasuk jururawat masyarakat di seluruh negara meliputi sektor awam dan swasta.

“KKM sedang melaksanakan pelbagai langkah antaranya pengambilan graduan kejururawatan dari IPTA dan IPTS secara berfasa melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), meningkatkan kapasiti pelatih Institut Latihan KKM (ILKKM) daripada 1,500 kepada 3,000 orang setahun dan menaikkan kuota PSL kepada 1,000 setahun.

“Selain itu, moratorium ke atas program kejururawatan swasta juga telah ditamatkan dan 12 institusi baharu telah memohon untuk menawarkan program diploma kejururawatan,” katanya lagi.

Berhubung pelaksanaan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP), beliau memaklumkan ia belum dapat dilaksanakan berikutan kekurangan petugas yang menjejaskan pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB).

Namun katanya, Ketua Pengarah Kesihatan telah diarahkan untuk terus memperjuangkan elaun itu dan mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan ia dapat dilaksanakan kepada petugas kesihatan yang layak.

Mengulas isu sistem penempatan doktor tetap (e-Placement) yang dibatalkan pada Februari lalu, beliau memaklumkan sistem berkenaan telah ditambah baik dan kini berjalan lancar.

“Seramai 2,248 pegawai perubatan telah membuat semakan penempatan masing-masing pada 8 Julai lalu tanpa sebarang masalah teknikal.

“Tempoh rayuan dibuka dari 8 hingga 14 Julai bagi calon yang tidak berjaya atau ingin memohon pertukaran, manakala keputusan rayuan akan diumumkan pada 19 Ogos,” jelasnya lagi.

Dr Dzulkefly turut berkata, beliau terbuka menerima kritikan dan menganggapnya sebagai cabaran untuk menambah baik sistem kesihatan negara.

“Sebagai Menteri Kesihatan, saya memilih untuk ‘shape up’, bukan dengan slogan tetapi dengan kerja.

“Saya percaya membetulkan sistem lebih penting daripada membina persepsi.

“Saya tidak menjanjikan segala-galanya akan selesai segera, tetapi saya berjanji, kami mendengar, kami bertindak dan kami tidak akan berdiam,” katanya lagi.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, KKM telah menyelesaikan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50), meluluskan pendaftaran pakar Parallel Pathway dan melaksanakan sistem pemaparan harga ubat di kemudahan swasta melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Selain itu, katanya, KKM juga memperkenal sistem pertukaran suka sama suka, meluluskan peruntukan tambahan untuk hospital dan klinik baharu serta memperkukuh jawatan tetap bagi doktor dan jururawat.

“KKM turut merintis usaha reformasi pembiayaan kesihatan menerusi inisiatif RESET bersama Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.

“Pelaksanaan sistem pengurusan klinik berasaskan awan (CCMS) di 156 klinik kesihatan seluruh negara serta penambahbaikan aplikasi MySejahtera turut menjadi antara keutamaan yang akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button