BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

PM Anwar seru syarikat Malaysia teroka pasaran baharu menerusi BRICS

RIO DE JANEIRO – Syarikat-syarikat Malaysia perlu berani meneroka pasaran dan peluang perdagangan baharu di luar negara seperti platform BRICS yang menawarkan peluang yang sangat luas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun Amerika Syarikat dan China merupakan pasaran serta sumber pelaburan terbesar Malaysia, namun masih terdapat banyak peluang di luar kedua-dua negara tersebut.

Jelas Anwar, platform seperti BRICS menawarkan peluang yang sangat luas, dan beliau memuji kejayaan syarikat Malaysia seperti Petronas dan Yinson Production dalam usaha mereka di Brazil, lapor BERNAMA.

Anwar yang berada di sini atas jemputan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 berkata, Lula terkejut apabila mengetahui syarikat Malaysia telah beroperasi di negara itu.

“Saya sebutkan nama Yinson dan Petronas kepadanya serta peranan mereka di Brazil. Beliau terkejut dan meminta maklumat lanjut,” katanya semasa berucap dalam majlis makan malam anjuran Yinson Production di sini.

Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Pengerusi Eksekutif Yinson Holdings Bhd, Lim Han Weng.

Yinson, pemilik dan pengendali bebas kapal FPSO (Floating Production, Storage and Offloading), mempunyai tiga projek di Brazil sejak 2023 iaitu FPSO Anna Nery, FPSO Maria Quiteria dan FPSO Atlanta.

Petronas pula telah menceburi bidang pengeluaran minyak di Brazil dan tahun lalu membuka stesen minyak pertamanya di negara itu.

Beliau berkata, beliau telah meminta Tengku Zafrul untuk membantu dan memudahkan urusan syarikat-syarikat Malaysia yang ingin menjalankan perniagaan di Brazil, sebuah negara yang bukan sahaja lantang mewakili suara negara dunia ketiga, malah kini muncul sebagai kuasa ekonomi penting.

Dalam pertemuan beliau dengan Lula da Silva pagi tadi (semalam), Anwar berkata, mereka membincangkan pelbagai isu penting antara kedua-dua negara.

Anwar turut memaklumkan bahawa Lula telah menerima jemputannya untuk melawat Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada bulan Oktober.

“Beliau mahu membawa menteri-menteri utama serta kumpulan perniagaan ke Malaysia.

“Akan diadakan satu persidangan khas di mana kami berdua akan bersama-sama menyampaikan ucaptama,” katanya.

Malaysia menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS kali ini sebagai negara rakan dan Pengerusi ASEAN 2025. Malaysia secara rasmi menjadi negara rakan BRICS pada 1 Januari 2025.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil meningkat sebanyak 14.6 peratus kepada RM20.35 bilion (AS$4.38 bilion) pada tahun 2024, berbanding RM17.43 bilion pada 2023. Brazil merupakan antara rakan dagang utama Malaysia di rantau Amerika Latin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button