BERITA SEMASA

[KEMASKINI] Razarudin KPN baharu, Ayob Khan timbalan

CYBERJAYA – Tan Sri Razarudin Husain dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu berkuat kuasa Jumaat ini.

Jawatan Timbalan KPN pula akan disandang oleh Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pelantikan Razarudin seperti termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Razarudin sebelum ini menjawat jawatan Timbalan KPN, sejak Disember 2021 sebelum dilanjutkan secara kontrak selama dua tahun sehingga 15 Mac 2025.

Anak kelahiran Dengkil, Selangor itu memulakan tugas pada 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai pegawai penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga tahun 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di daerah Muar, Johor.

Beliau telah memegang pelbagai jawatan dalam pasukan antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Perak, Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Sebelum dilantik ke jawatan Timbalan KPN, Ayob Khan merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan dilantik jawatan tersebut sejak 16 April lalu bagi menggantikan Datuk Seri Abd Jalil Hassan yang bersara.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ketua Polis Johor, dan Ketua Penolong Pengarah, E8, Cawangan Khas Bukit Aman.

Pelantikan baharu ini susulan peletakan jawatan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani Acryl Sani pada minggu pertama bulan hadapan meskipun kontraknya hanya akan tamat pada 3 Oktober ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button