Berita Semasa

Dua individu IC sama kes tular lama, tidak wujud

BANGI – Kes dua individu yang didakwa memiliki nombor kad pengenalan yang sama adalah isu lama dan telahpun diperjelaskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum ini.

JPN dalam satu kenyataan berkata, dakwaan yang mengatakan dua individu memiliki dua nombor kad pengenalan yang sama itu tidak benar sebaliknya berlaku disebabkan kekeliruan.

Menurut kenyataan itu, kejadian itu berlaku pada tahun 2020 ketika salah seorang daripada individu berkenaan melakukan pendaftaran talian telefon.

“Kedua-dua individu tersebut memiliki nombor kad pengenalan yang berbeza di dalam sistem JPN.

“Warganegara Malaysia hanya akan diberikan dengan satu nombor kad pengenalan dua belas digit yang unik di mana nombor tersebut dijana sistem menggunakan formula tertentu,” kata JPN semalam.

Isu yang kembali tular di media sosial berkenaan dipercayai cuba mengaitkan kes berkenaan dengan pendaftaran pilihan raya berikutan Pilihan Raya Negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.

JPN berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan nombor kad pengenalan yang sama kepada individu yang berbeza.

Justeru itu, JPN meminta orang ramai tidak mempercayai dan tidak menyebarkan maklumat palsu berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di kalangan masyarakat.

“Tindakan undang-undang boleh diambil bagi penyebaran maklumat yang tidak benar oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sebarang pertanyaan dan kekeliruan berkaitan perkhidmatan JPN, orang ramai dinasihatkan hadir ke mana-mana pejabat JPN atau menghubungi Unit Komunikasi Korporat, JPN di talian 03-8880 7077 atau e-mel ke pro@jpn.gov.my.

Show More

Related Articles

Back to top button