Sukan

Dilarang masuk stadium setahun akibat peluk Messi

BEIJING – Akibat menceroboh padang dan memeluk Lionel Messi, seorang peminat bola sepak telah ditahan polis China dan telah dilarang memasuki stadium selama setahun.

Lelaki itu berlari ke padang di Stadium Workers pada pertengahan babak kedua perlawanan persahabatan antara Argentina dan Australia di sini, Khamis lalu.

Orang ramai dilihat menyokong gelagatnya itu dengan bertepuk tangan, namun ia bukan sesuatu yang menyenangkan anggota keselamatan.

Polis China dalam satu kenyataan berkata, pemuda berusia 18 tahun itu dikenali sebagai Di.

“Biro keselamatan awam Daerah Chaoyang sudah pun menahannya mengikut undang-undang yang termaktub.

“Polis mengarahkan Di tidak menghadiri perlawanan di stadium selama dua belas bulan akan datang.

“Di juga menyatakan kekesalan atas tindakannya dan menerima hukuman itu,” tambah kenyataan itu tanpa menyatakan berapa lama Di ditahan atau sama ada dia sudah dibebaskan.

Lebih 50,000 penyokong di Beijing menyaksikan Messi mengetuai Aregentina seterusnya melakar kemenangan 2-0 ke atas Socceroos.

Show More

Related Articles

Back to top button