Dakwaan bas dipandu laju hanya spekulasi – Polis
GERIK – Polis menafikan dakwaan bahawa kemalangan membabitkan sebuah bas yang mengorbankan 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan seorang kelindan awal pagi ini berpunca daripada pemanduan laju, sebaliknya menyifatkan ia sebagai spekulasi tidak berasas.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, siasatan awal mendapati bas tersebut berada dalam keadaan baik dan pemandunya tidak mempunyai sebarang rekod lampau membabitkan kesalahan trafik serius.
“Setakat ini, siasatan mendapati pemandu bas tidak membawa laju, jadi dakwaan itu hanya spekulasi semata-mata.
“Kami sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk memeriksa kotak hitam bas untuk mengetahui punca sebenar,” katanya kepada media, hari ini.
Menurutnya lagi, laporan awal mendapati bas berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik selepas terbabit dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, bas yang membawa 42 pelajar UPSI dari Terengganu dan Kelantan sedang dalam perjalanan pulang ke kampus sempena tamat cuti Aidiladha.
Sebanyak 13 mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik. Tujuh pelajar dilaporkan cedera parah dan sedang menerima rawatan.
Pihak polis turut menasihatkan orang awam agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh mengganggu emosi keluarga mangsa dan menjejaskan siasatan.
“Kami minta masyarakat tunggu hasil siasatan penuh daripada pihak berkuasa. Elakkan membuat sebarang andaian atau menyebarkan berita yang belum disahkan,” tambahnya lagi.
Sementara itu, pihak UPSI telah menubuhkan bilik gerakan khas dan membuka talian hotline bagi menyelaras bantuan serta maklumat kepada keluarga pelajar terlibat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







