BERITA SEMASA

KBS peruntuk RM1.5 juta Dana Esukan 2025

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan pembukaan permohonan bagi Dana Esukan KBS (DEK) 2025 berjumlah RM1.5 juta hari ini.

Dana tersebut disalurkan melalui Esports Integrated (ESI), inisiatif di bawah Impact Integrated yang menyaksikan peningkatan sebanyak RM500,000 berbanding peruntukan tahun lalu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, penyediaan DEK 2025 adalah selari dengan pendekatan kerajaan dalam merakyatkan sukan termasuk esukan serta memperkukuh ekosistem industri yang semakin berkembang di negara ini.

“Dana Esukan KBS bukan sekadar skim bantuan kewangan tetapi simbol kepercayaan KBS terhadap potensi besar esukan.

“Ia juga menyokong pendekatan whole-of-nation dan nilai Malaysia MADANI dalam memastikan esukan dapat dimanfaatkan secara menyeluruh oleh penggiat industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, DEK telah menyokong lebih 80 inisiatif esukan akar umbi di seluruh negara merangkumi penganjuran kejohanan, pembangunan bakat, kandungan digital dan aktiviti komuniti.

Adam berkata, permohonan dana itu terbuka kepada organisasi, kelab komuniti, pencipta kandungan dan penganjur tempatan.

“Bagi memastikan permohonan yang lebih berkesan, ESI akan menganjurkan sesi libat urus merangkumi taklimat, panduan penyediaan kertas kerja dan sesi soal jawab.

“Sesi tersebut terbuka kepada semua pihak termasuk institusi pendidikan, organisasi belia dan sukan serta kumpulan komuniti,” katanya lagi.

Tambahnya, tarikh dan lokasi akan diumumkan dalam masa terdekat.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian beJun hingga 31 Julai 2025, manakala keputusan permohonan akan diumumkan pada 28 Ogos 2025.

Semua program yang diluluskan perlu dilaksanakan antara bulan September hingga November 2025.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sesawang www.esportsintegrated.com/danaesukankbs atau melalui e-mel ke DanaEsukanKBS@esportsintegrated.com.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button