BERITA SEMASAPMX

Malaysia teguh hadapi cabaran dunia di bawah titah bijaksana YDPA – PM Anwar

KUALA LUMPUR — Ketahanan ekonomi negara dalam mendepani pelbagai cabaran global membuktikan keberkesanan kepimpinan negara yang berteraskan kebijaksanaan titah dan panduan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, meskipun dunia dilanda ketegangan geopolitik, tarif perdagangan dan ketidaktentuan pasaran, Malaysia kekal teguh dan menjadi antara negara terawal yang bertindak melindungi kepentingan industri, perniagaan dan kebajikan rakyat.

“Langkah-langkah strategik telah diambil secara menyeluruh dan terangkum, melibatkan pelbagai pihak demi memastikan kestabilan ekonomi serta daya saing negara terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada Hari Keputeraan Rasmi Sultan Ibrahim.

Dalam kesempatan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan sembah tahniah kepada Sultan Ibrahim sempena hari keputeraan Baginda.

Beliau turut merafakkan doa agar Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta seluruh keluarga dilimpahi rahmat, dikurniakan keafiatan dan terus memayungi negara dengan penuh kedaulatan.

“Sesungguhnya, titah-titah Baginda sentiasa menjadi panduan luhur dalam melakar dasar dan menjunjung aspirasi rakyat.

“Semoga Allah SWT terus memberkati pemerintahan Tuanku dan menganugerahkan keteguhan serta kesihatan berpanjangan kepada Duli Yang Maha Mulia,” katanya.

Seluruh rakyat, katanya, menzahirkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada baginda dan akan terus memperteguh usaha bersama demi kemajuan dan kesejahteraan tanah air.

Anwar berkata, kekuatan negara tidak hanya terletak pada angka pertumbuhan semata-mata, tetapi turut bergantung kepada daya tahan rakyat terbanyak dan keteguhan industri tempatan.

“Peningkatan hasil agro-tani, produk tempatan dan ketahanan industri domestik terus menjadi tonggak ekonomi.

“Dukungan rakyat terhadap usaha ini mencerminkan semangat kebangsaan yang tinggi serta kesedaran terhadap kepentingan berdikari dalam dunia yang penuh ketidaktentuan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button