BERITA SEMASA

Caj kod QR tidak bebankan golongan bawahan – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang caj bagi transaksi pembayaran menggunakan kod QR tidak akan menjejaskan golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri berkata, perkara berkenaan sudah dibincangkan dengan Gabenor Bank Negara (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, semalam.

“Itu saya sudah bincang dengan Gabenor semalam, mengikut beliau, penjelasan akan diberikan, tidak akan membebankan golongan bawahan,” katanya kepada pemberita pada Pameran Postnormal Times di Kl Jazz & Art, di Wisma YPR, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas mengenai pelaksanaan caj bagi pembayaran menggunakan platform kod QR Duitnow mulai 1 November ini.

Semalam, pengendali platform pembayaran melalui kod QR, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan vendor yang menerima pembayaran menerusi platform kod QR DuitNow akan dikenakan caj mulai 1 November ini.

Mengulas mengenai sama ada caj penggunaan kos QR itu akan ditarik balik, Anwar menegaskan perkara itu bergantung kepada keputusan BNM.

Katanya, BNM yang bertanggungjawab berhubung perkara itu.

“Itu (tarik balik caj) keputusan BNM, jadi Bank Negara ada tugasnya, biar dia laksanakan tugasnya.

“Sekarang yang penting (caj) tidak akan membebankan golongan pendapatan rendah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button