Anugerah hanya untuk yang layak, bukan hasil lobi – Agong
KUALA LUMPUR – Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan penegasan darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan merupakan pengiktirafan tertinggi negara yang tidak wajar dijadikan alat kepentingan peribadi atau urusan jual beli.
“Walaupun proses pemilihan calon melalui cadangan rasmi kerajaan telah digariskan, keputusan akhir tetap tertakluk kepada penelitian dan pertimbangan Baginda sebagai Ketua Negara.
“Saya meneliti setiap nama yang disenarai, bukan sekadar menerima bulat-bulat cadangan. Hanya mereka yang benar-benar berjasa dan berintegriti tinggi akan diberi pertimbangan sewajarnya,” titah Baginda dalam satu istiadat rasmi di Istana Negara.
Tambah Baginda, gelaran seperti “Datuk” dan “Tan Sri” bukanlah simbol status yang boleh dicapai melalui kekayaan atau hubungan, malah hanya relevan bagi mereka yang telah memberi impak besar kepada pembangunan negara dan masyarakat.
“Kalau benar berharta, salurkanlah kekayaan itu kepada kerja kebajikan. Membantu mereka yang susah lebih mulia daripada mengejar pangkat kosong,” titah Baginda.
Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 itu diadakan bersempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong dan turut disertai oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Raja Zarith Sofiah.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta beberapa ahli Jemaah Menteri dan ketua jabatan.
Dalam ucapannya, Baginda merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas segala doa dan sokongan yang diterima sempena ulang tahun keputeraan rasmi Baginda.
“Saya amat menghargai semua ucapan tahniah dan doa yang diberikan. Ia menyuntik semangat untuk saya terus menjalankan amanah sebagai Ketua Negara dengan penuh tanggungjawab,” titah Baginda.
Sebagai penutup titah, Sultan Ibrahim menyeru seluruh rakyat menadahkan doa ke hadrat Ilahi demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.
“Marilah kita bersama-sama memohon kepada Allah SWT agar Malaysia sentiasa dikurniakan rahmat, keamanan yang berkekalan serta kemajuan yang berterusan,” titah Baginda penuh pengharapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















