BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Bunga ganja undang risiko ketagihan lebih teruk – AADK

KUALA LUMPUR – Bunga ganja merupakan bahagian paling berisiko dalam penyalahgunaan dadah akibat kandungan tetrahydrocannabinol (THC) yang jauh lebih tinggi berbanding bahagian lain tumbuhan itu.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, bunga ganja turut dikenali sebagai ‘buds’ atau ‘nugget’ mengandungi sehingga 30 peratus THC, menjadikannya jauh lebih kuat berbanding daun atau batang ganja biasa.

“Bahagian ini tumbuh di atas pokok dan dipenuhi kristal halus (trichomes) yang mengandungi THC dalam kepekatan yang sangat tinggi. Kandungan ini yang menyebabkan pengguna mengalami kesan khayal yang lebih cepat dan kuat,” katanya.

Beliau berkata, walaupun berasal daripada tumbuhan yang sama, kesan pengambilan bunga ganja terhadap tubuh dan minda jauh lebih agresif dan boleh mengganggu kestabilan emosi serta keupayaan kognitif individu.

“Penyalahgunaan bunga ganja berisiko menyebabkan dua jenis kesan utama ke atas pengguna iaitu hallucinogens dan depressants.

“Kesan halusinasi yang terhasil menjejaskan persepsi dan penglihatan hingga mendorong individu melihat atau mendengar sesuatu yang tidak wujud. Manakala kesan penenang pula boleh melumpuhkan tindak balas otak dan kawalan fizikal seseorang,” ujarnya.

Penggunaan bunga ganja kini meluas dalam bentuk makanan, minuman dan vape, memudahkan penyalahgunaan khususnya oleh remaja.

Ruslin menegaskan bahan itu telah diklasifikasikan sebagai dadah berbahaya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, dan penyalahgunaannya boleh membawa kepada kesan ketagihan yang lebih parah.

“Kami dapati, penggunaan bunga ganja juga boleh menyebabkan perubahan mood secara mendadak, rasa euforia melampau dan dalam kes tertentu, individu mengalami simptom psikosis. Malah, ada kes berlebihan dos hingga menjejaskan keupayaan untuk bergerak atau berfikir dengan waras,” jelasnya lagi.

Ujar beliau, permintaan yang tinggi di pasaran gelap menjadi faktor utama peningkatan penggunaan bunga ganja dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Dulu, penggunaan lebih tertumpu pada daun untuk hisapan atau pembuatan minyak, tetapi kini bunga ganja menjadi pilihan utama kerana tahap THC yang lebih tinggi dan kesannya lebih ‘kuat’,” tegasnya.

Ruslin menyeru masyarakat, khususnya ibu bapa, peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak dan kerjasama dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah jenis baharu yang semakin berleluasa itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button