BERITA SEMASADALAM NEGERI

Malaysia bebas jangkitan Streptococcus Suis

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan Malaysia bebas daripada sebarang kes jangkitan Streptococcus suis, meskipun negara jiran, Thailand, baru-baru ini melaporkan kematian akibat jangkitan bakteria tersebut.

DVS dalam satu kenyataan berkata, penyakit streptococcosis turut dikenali sebagai deafness fever kini menjadi kebimbangan kesihatan awam di Thailand.

“Sehingga kini, Malaysia masih bebas daripada sebarang wabak penyakit babi yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus suis.

“Pemantauan rapi sedang dijalankan bagi memastikan sebarang kemungkinan jangkitan dapat dikesan awal,” menurut kenyataan yang turut dikongsikan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Untuk rekod, Streptococcus suis adalah sejenis bakteria yang menjangkiti babi, khususnya anak-anak babi selepas bercerai susu.

Ia tergolong dalam kategori penyakit yang merebak kepada manusia melalui luka terbuka yang terdedah kepada darah atau cecair badan daripada babi yang dijangkiti.

“Jangkitan kepada manusia juga boleh berlaku melalui pengambilan daging babi yang tidak dimasak dengan sempurna. Oleh itu, pengendalian dan penyediaan daging perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati,” tambah kenyataan itu.

Antara tanda klinikal awal pada babi termasuk demam, kemurungan, hilang selera makan, tempang, serta simptom meningitis seperti telinga menarik ke belakang, mata mengecil dan kehilangan koordinasi badan.

“Dalam kes perakut, ternakan boleh mati secara tiba-tiba tanpa menunjukkan sebarang gejala. Kami menyarankan agar penternak lebih peka terhadap perubahan tingkah laku haiwan dan melaporkan segera kepada DVS,” jelasnya.

Katanya, bakteria itu secara semula jadi terdapat dalam saluran pernafasan, sistem pencernaan dan pembiakan babi yang sihat, terutama di kawasan tonsil.

Namun, ia boleh menjadi aktif apabila haiwan mengalami tekanan seperti kepadatan tinggi atau perubahan persekitaran.

“Faktor persekitaran memainkan peranan penting dalam kawalan jangkitan. Justeru, aspek biosekuriti dan kebajikan haiwan perlu diberi perhatian serius oleh semua pengusaha ladang,” tambahnya.

Sebagai langkah pencegahan, DVS menyeru semua pihak terlibat dalam industri ternakan babi – termasuk penternak, pekerja rumah sembelih, pengangkut dan penjual – agar memakai peralatan pelindung diri seperti sarung tangan dan pakaian khas semasa mengendalikan haiwan atau produknya.

“Kami juga menasihati mana-mana individu yang mengalami gejala selepas terdedah kepada haiwan supaya mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran,” tegasnya.

DVS memberi jaminan pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan keselamatan makanan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara.

Sebarang tanda klinikal penyakit haiwan boleh dilaporkan terus ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar berdekatan atau menerusi talian hotline 03-8870 2041.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button