AGAMA

Ketika alam menjadi guru: Ibrah di sebalik air mata ibu gajah

DALAM kehidupan yang penuh hiruk-pikuk ini, kadangkala manusia terlupa bahawa dunia ini bukan hanya milik kita.

Setiap detik yang berlaku di sekeliling bukanlah kebetulan tetapi satu pelajaran daripada Tuhan Yang Maha Bijaksana.

Melalui satu hantaran di Facebook, Ustaz Ahmad Fahmi Azalee berkongsi tentang pengajaran di sebalik air mata si ibu gajah yang ‘menangisi’ kematian anaknya akibat dilanggar lori.

Ustaz Ahmad Fahmi

“Hari ini, alam sekali lagi menjadi guru. Di sebuah jalan yang merentas hutan, seekor anak gajah mati dilanggar lori.

“Ibunya makhluk besar yang kelihatan gagah dan kebal hanya berdiri di sisi, dalam diam. Tiada air mata yang menitis namun seluruh tubuhnya menggambarkan kesedihan yang tak terucap.

“Ia tidak menjerit. Ia tidak mengamuk. Ia hanya menunggu. Menolak perlahan jasad anaknya yang telah kaku.

“Berdiri lama di tepi jalan, merenung ke bawah lori yang telah meragut nyawa si kecil. Kepalanya dijolokkan perlahan ke celah-celah badan lori seolah masih bertanya “Bangunlah, ikut ibu pulang.”

“Ia seakan belum mengerti atau tidak mahu menerima,” tulisnya.

Beliau turut memetik firman Allah SWT di dalam surah Yunus, ayat 101 yang bermaksud: “Katakanlah: Lihatlah apa yang ada di langit dan di bumi.”

Menurut beliau lagi, setiap kejadian adalah kalamullah yang tersembunyi dalam bentuk makhluk dan peristiwa.

“Hanya hati yang bening mampu membacanya. Ibu gajah itu sedang mengajar kita tentang cinta yang tidak bertepi, tentang sabar dalam kehilangan dan tentang reda kepada takdir Ilahi.

“Manusia terlalu mudah melepaskan. Terlalu mudah mempersoalkan. Terlalu cepat menyalahkan takdir sedang seekor gajah yang tiada lisan, berdiri berserah, menerima dan mencintai dalam diam. Tanpa suara, tapi penuh makna,” katanya.

Tambah beliau, manusia sering lupa bahawa bumi ini milik bersama.

“Jalan yang kita binakan, bukan hanya milik tayar dan manusia. Ia dulu rimba. Ia dulu rumah. Dan hari ini, kita mengambilnya tanpa segan, lalu membunuh tanpa niat namun tetap bersalah.

“Barangkali, Allah sedang menegur kita. Melalui ibu gajah itu, Allah ingin menyentuh hati-hati yang telah beku. Bukan dengan dalil atau khutbah, tetapi dengan satu peristiwa yang menusuk jiwa. Seekor ibu yang tidak mampu menyelamatkan anaknya,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan manusia tentang sesuatu yang kita cintai diambil Allah sebagai ujian penyucian diri.

“Tapi berapa ramai antara kita yang berdiri seperti gajah itu. Pasrah namun penuh kasih.

“Hari ini, biar alam menjadi madrasah. Biar air mata ibu gajah itu menyentuh kita. Biar kita belajar, bahawa sabar itu bukan lemah. Reda itu bukan menyerah tetapi ia adalah kekuatan yang lahir dari hati yang telah kenal Tuhan,” ungkapnya penuh makna.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button