Guru tidak hadir majlis kahwin sendiri, dakwa cuti ditolak kerana mesyuarat PIBG
SEREMBAN – Seorang guru perempuan mendakwa terpaksa melepaskan detik bersejarah dalam hidupnya apabila tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan sendiri di Sabak Bernam kerana tidak mendapat kelulusan cuti daripada pihak sekolah.
Perkara itu dikongsikan pengguna media sosial, @joseibaraazmi, di platform X, yang memaklumkan pengantin perempuan berkenaan hanya tiba di lokasi majlis sekitar pukul 6 petang selepas selesai mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
“Pengetua tidak membenarkan cuti disebabkan ada mesyuarat PIBG. Jadi dia tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan sendiri. Sedihnya,” katanya dalam hantaran tersebut.
Menurutnya, guru terbabit yang bertugas di sebuah sekolah di Seremban telah memohon cuti tiga bulan lebih awal namun dimaklumkan permohonan itu tidak diluluskan kira-kira tiga minggu sebelum majlis berlangsung.
“Tiga minggu sebelum majlis, pengetua baru maklumkan cuti tidak diluluskan. Ketika itu, kad jemputan sudah diedarkan,” katanya lagi.
@joseibaraazmi berkata, kisah itu diceritakan oleh ibu mentuanya yang menghadiri majlis perkahwinan tersebut tanpa kehadiran pengantin perempuan pada awalnya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar berkata, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) masih belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai dakwaan tersebut.
“JPNS belum dapat membuat sebarang pengesahan terhadap kesahihan berita tersebut. Bagaimanapun, kita sedang mendapatkan maklumat lanjut berkaitan isu ini.
“Sehingga pagi ini, kita belum menerima sebarang laporan atau aduan daripada mana-mana pihak,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Tindakan pengetua yang didakwa tidak meluluskan cuti guru berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, dengan ramai menyifatkan perkara itu sebagai tidak wajar dan menuntut siasatan lanjut daripada pihak berkuasa pendidikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








