PDRM tahan lelaki buat hantaran berbaur ugutan dan perkauman
KUALA LUMPUR – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang lelaki kerana disyaki membuat hantaran berbaur ugutan dan perkauman yang dimuat naik menerusi satu akaun Facebook pada 23 Mac lalu.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 48 tahun itu membuat hantaran tersebut menggunakan akaun ‘Nasrullah Nasir’ ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.
“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Suspek telah direman selama tiga hari bermula hari ini (Isnin) hingga Rabu bagi membantu siasatan Seksyen 506 dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata Noorsiah dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Noorsiah kemudiannya berkata, orang awam dinasihatkan tidak menyalahgunakan media sosial dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum sehingga membangkitkan ketegangan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.