Isu kalimah Allah dibincang dalam MKI Ogos ini – PM
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersetuju membawa isu kalimah Allah untuk dibincangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Ogos ini sebelum diangkat untuk pertimbangan dan penelitian Majlis Raja-Raja pada Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah demikian selepas beliau menghadap Sultan Selangor hari ini.
Katanya, sesi menghadap itu adalah untuk menyembah maklum berhubung keputusan kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan.
“Dalam sesi menghadap tersebut, saya telah menjelaskan pendirian Kerajaan Persekutuan yang menghormati undang-undang yang berkuatkuasa di negeri-negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Ketua Agama Negeri dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri serta peranan Majlis Raja-Raja dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat Persekutuan.
“Selepas berbincang dengan Sultan Selangor, saya menghormati pandangan baginda yang selari dengan keputusan jemaah menteri Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada MKI yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Anwar sekali lagi menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan untuk memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang menghadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, kerajaan juga memberikan komitmen untuk memperkemas dasar sedia ada berdasarkan ketetapan Majlis Raja-Raja yang akan diangkat sebagai suatu dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.