BERITA SEMASAPOLITIK

Bukan sebulan tapi hanya beberapa hari – ulas PM mengenai ketiadaan Rafizi

KUALA LANGAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhak untuk bercuti dan menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu besar.

Menurut beliau, cuti yang diambil Ahli Parlimen Pandan itu hanyalah untuk beberapa hari dan bukannya sepanjang bulan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Apa salahnya bercuti beberapa hari. Bagilah (Rafizi cuti). Tak ada isu. Saya pun nak cari beberapa hari nak cuti. Saya pun belum ambil cuti.

“Lepas sidang Kemuncak ASEAN, boleh tak bagi saya beberapa hari cuti,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Saujana Putra, di sini, hari ini.

Terdahulu, timbul spekulasi dalam kalangan akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa Timbalan Presiden parti itu sedang bercuti panjang, mencetuskan persoalan mengenai peranannya dalam mendepani Pemilihan Keadilan 2025 yang kini berlangsung di peringkat cabang.

Sebahagian anggota parti meluahkan kebimbangan terhadap ketidakhadiran Rafizi di lapangan, memandangkan beliau sebelum ini sering tampil sebagai tokoh yang aktif turun padang dan merancang strategi sewaktu pemilihan parti.

Namun begitu, beberapa pemimpin kanan PKR tidak melihat perkara itu sebagai luar biasa, memandangkan Rafizi telah menunaikan banyak komitmen kerajaan dan parti sebelum ini.

Anwar turut menyuarakan harapan agar masyarakat memahami bahawa cuti adalah keperluan bagi semua individu termasuk anggota pentadbiran.

“Semua berhak cuti termasuk Rafizi mahu pun saya,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button